PM nyatakan kebimbangan AI hakis hak cipta, nilai jati diri

SHAH ALAM – Harus ada undang-undang yang mengambil kira hak cipta dalam kalangan seniman visual tempatan agar tidak ‘dimatikan’ oleh teknologi kecerdasan buatan (AI).

Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kementerian Digital dan Kementerian Komunikasi memainkan peranan dari sudut dasar agar hak cipta pengkarya tempatan terjamin.

Menurutnya, perkara itu penting agar jati diri dan nilai kebudayaan negara dalam kalangan pengkarya tidak hilang.

“Masalah hak cipta…bukan saja kartunis tetapi seni perfileman dan pemuisi, kadang-kadang ia mematikan kekuatan daya cipta seorang seniman (untuk) melakar.

“Harus ada beberapa peruntukan perundangan…supaya negara kita ini tidak hanya mengikut acuan yang ditentukan oleh dunia luar,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian semasa menyampaikan ucap tama di majlis peluncuran buku ‘Melukis Dengan Hati – sebuah biografi seni 50 tahun karya Zunar’ di Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini hari ini.

Menyentuh mengenai nilai, Perdana Menteri berpendapat golongan kanak-kanak seharusnya dilatih menggunakan AI dengan penerapan nilai keagamaan.

Tambah beliau, pelaksanaan nilai positif dapat memastikan topik yang dijana oleh AI mengikut sudut pandang negara berbanding elemen budaya barat.

“Kita nak pastikan bahawa kekuatan AI juga menekankan soal nilai, beberapa pertimbangan yang harus sesuai dengan akidah, keyakinan agama kita.

“Maka harus dilatih anak-anak dalam bidang AI.. menguasai ilmu itu dan memasukkan juga elemen, budaya, agama supaya yang dilontar dan dimuntahkan oleh mesin itu juga mengambil kira beberapa pandangan kita,” katanya.

Turut menemaninya isteri beliau, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Dalam acara yang sama, kartunis politik, Zulkiflee SM Anwarul Haque atau Zunar mengakui AI sebagai satu budaya yang bagus namun jika tidak dikawal boleh membunuh kerjaya kartunis.

Menurut Zunar lagi, AI turut menjadikan golongan muda tidak berminat untuk menjadi pelukis secara fizikal kerana kemudahan yang disediakan oleh teknologi itu.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *