ALOR SETAR – Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, beliau tidak pernah menyimpan hasrat untuk menerajui negara sebagai Perdana Menteri untuk kali ketiga selepas menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 minggu lalu.
Sebaliknya, bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu berkata, sewajarnya golongan muda diberikan peluang untuk menyandang jawatan berkenaan.
Bagaimanapun, kata Dr. Mahathir, individu berkenaan perlu mempunyai kesanggupan untuk mendengar nasihat daripada orang berpengalaman mengenai langkah terbaik dalam membangunkan negara ini.
“Kita (juga) terima orang muda (untuk jawatan Perdana Menteri), bukan (niat) saya nak jadi Perdana Menteri sekali lagi, dua kali cukuplah… tapi saya nak bagilah sikit nasihat kerana saya jadi Perdana Menteri selama 24 tahun, saya bergerak dalam arena politik 80 tahun, yang di sini berapa (ramai) orang umur 80, tak banyak dah.
“Kalau kita mempunyai Perdana Menteri yang sanggup menerima nasihat, saya yakin kita boleh atasi banyak masalah termasuk masalah kemiskinan rakyat di negara kita yang kaya ini,” katanya ketika berucap pada Program Himpunan Amanat Negarawan, di Stadium Suka Menanti, di sini, malam tadi (Khamis).
Untuk rekod, kali pertama Dr Mahathir memimpin Malaysia pada 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003, sementara pentadbiran kali kedua sebagai Perdana Menteri bermula pada 10 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020.
Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir turut mendakwa, orang Melayu kini sudah semakin lemah dan kehilangan kuasa memandangkan tidak lagi dominan dalam kerajaan ketika ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar orang Melayu untuk kembali bersatu terutama dalam membentuk dominasi kaum Melayu dalam kerajaan atas dasar tanggungjawab terhadap generasi akan datang.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001