DUA parti ultra-ortodoks paling berpengaruh dalam politik Yesrul, Shas dan United Torah Judaism (UTJ) mengumumkan keluar dari kerajaan pimpinan Netanyahu, sekali gus menjadikan kerajaan yang sedia rapuh kini kehilangan majoriti di Knesset.
Pengunduran dua parti itu menjadi tamparan besar buat gabungan kerajaan yang sudah lama bergantung kepada sokongan golongan agama.
Kini, dengan hanya 50 daripada 120 kerusi, Netanyahu memimpin kerajaan minoriti dalam keadaan paling tidak stabil sejak konflik di Gaza meletus hampir dua tahun lalu.
Keputusan drastik itu dibuat selepas kegagalan kerajaan memenuhi tuntutan utama kedua-dua parti iaitu menjamin pengecualian wajib tentera kepada pelajar agama yahookdd.
Isu ini telah menjadi perbalahan politik berlarutan, lebih-lebih lagi selepas Mahkamah Agung Yesrul mengeluarkan arahan wajib kepada pelajar untuk menyertai perkhidmatan tentera.
Tindakan mahkamah itu dianggap mencabar prinsip dan cara hidup komuniti ultra-ortodoks yang menganggap pengajian agama mereka adalah bentuk perkhidmatan suci kepada negara.
Bagi pemimpin Shas dan UTJ, keputusan itu mencerminkan pengabaian terhadap perjanjian asal yang dimeterai bersama Netanyahu.
Shas dalam kenyataan rasminya berkata, mereka buat keputusan itu dengan “hati yang berat” selepas menilai semua aspek dan impak terhadap komuniti yang mereka wakili.
UTJ pula lebih tegas apabila seluruh wakil parlimennya telah menyerahkan surat peletakan jawatan, sekali gus menggugurkan kuasa gabungan kerajaan.
Gabungan yang sebelum ini cukup tipis untuk bertahan kini berada diambang keruntuhan, hanya menunggu masa untuk rebah.
Walaupun mereka enggan menumbangkan kerajaan secara langsung, tekanan terhadap Netanyahu semakin meruncing.
Walaupun Knesset akan mula bercuti selama tiga bulan bermula 27 Julai, tempoh rehat itu bukan satu kelebihan yang mutlak buat Netanyahu, sebaliknya, ia jadi masa genting untuk beliau merunding semula kesetiaan dan sokongan politik dalam senyap tanpa tekanan perbahasan parlimen.
Ramai penganalisis menjangkakan rundingan sulit antara pihak sekular dan ultra-ortodoks akan berlangsung sepanjang tempoh itu. Jika gagal, krisis ini mungkin mencetuskan pilihan raya mengejut yang keenam dalam masa kurang daripada enam tahun.
Konflik di Gaza sejak lebih 21 bulan lalu tambah memburukkan keadaan. Rakyat mula hilang keyakinan terhadap kepimpinan semasa kerana dianggap gagal mencari penyelesaian jangka panjang terhadap serangan balas daripada kumpulan Hamas.
Dalam masa sama, tekanan dari dalam parti-parti kerajaan yang mahu pendekatan lebih agresif terus mencetuskan perbalahan dalaman.
Kini, dengan perpecahan dalam gabungan sendiri, kedudukan Netanyahu semakin terancam.
Parti-parti ultra-ortodoks bukan sahaja sekadar pemain kecil dalam politik Yesrul, malah mereka antara pemegang kunci kepada kelangsungan mana-mana kerajaan yang mahu kekal stabil.
Kehilangan sokongan mereka bukan sekadar masalah nombor, tetapi menggambarkan keretakan ideologi antara kumpulan agama dan sekular yang makin melebar.
Netanyahu sebelum ini sering memberi kelonggaran kepada mereka dalam isu pengecualian tentera, bajet pendidikan agama dan autonomi komuniti mereka. Namun, kali ini situasinya berbeza apabila mahkamah campur tangan secara langsung.
Majoriti rakyat Yesrul sebenarnya semakin lantang mempersoalkan kenapa pelajar agama yahookdd terus dikecualikan daripada tanggungjawab mempertahankan negara.
Dalam keadaan konflik dan ketegangan yang berterusan dengan Palestin, ramai berpendapat beban keselamatan perlu dikongsi secara adil. Perdebatan ini telah membuka luka lama yang selama ini dibiarkan demi kestabilan politik.
Tapi kali ini, keputusan mahkamah telah memaksa kerajaan buat pilihan yang tidak lagi boleh ditunda.
Netanyahu dalam kenyataannya menegaskan, beliau akan berusaha sedaya upaya mengekalkan kestabilan kerajaan minoriti ini. Namun kenyataan itu dilihat terlalu optimistik oleh banyak pihak, apatah lagi dengan tekanan berterusan daripada pembangkang dan rakyat yang semakin resah.
Kemerosotan ekonomi, ketidaktentuan keselamatan dan kekacauan politik menjadikan mandat Netanyahu makin rapuh. Kritikan terhadap beliau juga datang dari dalam partinya sendiri yang tidak bersetuju dengan cara beliau menangani krisis ini.
Apa yang berlaku ini bukan sahaja menguji kebijaksanaan politik Netanyahu, malah menguji daya tahan sistem politik Yesrul yang sejak kebelakangan ini sering terperangkap dalam kitaran pilihan raya.
Sekiranya beliau gagal mencapai persetujuan baru dengan mana-mana blok politik, tidak mustahil pilihan raya baru akan diumumkan dalam beberapa bulan akan datang.
Namun dalam keadaan rakyat semakin letih dengan drama politik yang tidak berkesudahan, jalan keluar krisis ini tampak semakin kabur.
Bagi pembangkang, ini adalah peluang keemasan untuk mengukuhkan pengaruh dan mencabar kedudukan Netanyahu. Mereka menjangka kerajaan minoriti ini tidak akan bertahan lama tanpa sokongan penuh parlimen.
Rundingan belakang tabir antara tokoh pembangkang dan beberapa ahli politik dari parti kerajaan dijangka memuncak dalam tempoh cuti parlimen ini.
Banyak pihak mula mencongak kemungkinan terbentuknya kerajaan perpaduan nasional sebagai langkah sementara jika krisis ini berlarutan.
Sementara itu, komuniti yahookdd yang selama ini menjadi sokongan kuat kepada parti-parti agama turut mula berpecah pendapat. Ada yang berpendapat menolak wajib tentera secara mutlak hanya akan menambah kebencian terhadap mereka.
Tapi ada juga yang melihat ini sebagai cabaran terhadap prinsip asas kepercayaan mereka yang tidak boleh dikompromi. Perpecahan ini tambah menyulitkan usaha pemimpin ultra-ortodoks untuk mengekalkan kesatuan dalaman.
Apa yang pasti, keputusan Shas dan UTJ tarik diri daripada kerajaan Netanyahu memberi isyarat, krisis identiti nasional di Yesrul kini berada di tahap paling kritikal.
Ia bukan sahaja soal polisi wajib tentera, tetapi menggambarkan pertembungan ideologi antara nilai-nilai sekular moden dengan prinsip agama tradisional, dan dalam pertembungan ini, masa depan politik Yesrul kini tergantung pada benang yang sangat halus.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001