KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269, yang berlangsung di Istana Negara, hari ini.
Turut berangkat ke mesyuarat itu ialah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail; Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah; Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah; dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Turut berangkat, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; dan Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.
Mesyuarat turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Rustam; Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman; dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.
Mesyuarat turut dihadiri Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri serta wakil Premier Sarawak.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke pramesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 di Istana Negara.
Kali terakhir mesyuarat berkenaan diadakan pada 5 Februari dipengerusikan Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001