TAWAU – Dua lelaki ditahan polis selepas bertindak merempuh kenderaan pasukan keselamatan dan melanggar beberapa kenderaan awam dalam cubaan melarikan diri di kawasan lampu isyarat Batu 3, Jalan Apas, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 1.45 tengah hari itu, aksi suspek yang memandu secara melulu berjaya dirakam orang awam dan tular di media sosial susulan tindakan berbahaya yang turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, kejadian ketika sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan serbuan Op Tapis selepas mengesan sebuah Toyota Hilux yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Pasukan serbuan cuba menyekat kenderaan berkenaan berhampiran kawasan perindustrian Batu 3, namun suspek bertindak agresif dengan merempuh kenderaan polis serta beberapa kenderaan orang awam.
“Suspek kemudiannya memecut ke arah lampu isyarat Jalan Apas sambil memandu secara melulu, sebelum berjaya ditahan selepas kenderaan mereka dikepung polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan menemukan sebuah beg kain di bawah brek tangan yang mengandungi dua paket plastik lut sinar berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu seberat 5.13 gram dengan anggaran nilai RM400.
Menurutnya, kedua-dua suspek seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun dan seorang remaja lelaki warga asing berusia 18 tahun turut didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Usaha mengesan individu lain yang disyaki turut terbabit masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001