Tun M lambang keberanian menongkah arus, pemikir strategik – SOM

PUTRAJAYA – Sekretariat Orang Melayu (SOM) merakamkan ucapan Selamat Menyambut Ulang Tahun ke-100 kepada Negarawan Ulung, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sepanjang lebih tujuh abad sebagai pemimpin, beliau telah mencurahkan jasa dan keringat yang tidak ternilai harganya demi memartabatkan bangsa, agama dan tanah air.

Menurut Ketua Setiausahanya, Datuk Wira Marzuki Yahya, Dr. Mahathir bukan sekadar tokoh politik dan pemimpin negara, beliau adalah figura penting dalam sejarah Malaysia moden dan simbol kebangkitan semangat Melayu, selain menjadi lambang keberanian menongkah arus serta pemikir strategik yang meletakkan Malaysia di peta dunia sebagai negara membangun yang disegani.

“Sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-4 dan ke-7, beliau telah memperkenalkan pelbagai dasar transformasi negara, antaranya Wawasan 2020, Dasar Pandang ke Timur, penswastaan ekonomi dan pembangunan fizikal seperti Putrajaya dan Menara Berkembar Petronas.

“Lebih penting, beliau telah meniupkan semangat kebergantungan kepada diri sendiri dalam kalangan orang Melayu dan memperkasakan maruah bangsa di persada antarabangsa.

“Kepimpinan beliau selama lebih dua dekad sebagai Perdana Menteri, memperkenal dan melaksanakan dasar-dasar berani serta pendirian tegas dalam mempertahankan kedaulatan negara, kepentingan Melayu-Bumiputera dan maruah umat Islam sehingga menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya generasi muda Melayu hari ini,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Menurut Marzuki, pada usia seabad, Tun Dr. Mahathir kekal sebagai tokoh pemikir yang lantang dan berprinsip.

Justeru, katanya, Sekretariat Orang Melayu menyifatkan usia beliau sebagai satu anugerah besar kepada negara, bukan sahaja sebagai saksi sejarah, tetapi juga sebagai rujukan moral dan prinsip perjuangan bangsa.

“Sempena ulang tahun yang penuh bersejarah ini, Sekretariat Orang Melayu menyeru seluruh anak bangsa agar menghayati jasa dan pengorbanan Tun dalam membina Malaysia moden.

“Meneruskan perjuangan beliau untuk bangsa Melayu yang bermaruah, berilmu dan berdikari; memupuk perpaduan, memperkukuh jati diri, dan mempertahankan kepentingan nasional di tengah cabaran global yang mencabar.

“Kami mendoakan agar Tun dikurniakan kesihatan yang baik, umur yang diberkati, dan ketenangan dalam menikmati buah perjuangannya yang panjang,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *