Suami isteri mengaku tidak bersalah tipu pakej haji RM81,000

SEREMBAN – Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan transaksi perniagaan pakej haji berjumlah RM81,000 tanpa lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang sah.

Kedua-dua tertuduh, Mhd Lihan Sabari, 60, dan Noor Nisrin Mahlim, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membuat transaksi perniagaan mengelolakan perjalanan ke Tanah Suci bagi maksud menunaikan haji dengan menerima bayaran sebanyak RM81,000 daripada seorang wanita, tanpa lesen PJH yang sah.

Pasangan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah bank di Jalan Besar, Kawasan Hijau, Mantin dekat Nilai, pada 4 Februari hingga 7 April 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 27(1)(a) Akta Tabung Haji 1955 yang boleh dihukum bawah Seksyen 27(2)(a) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda minimum RM100,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua pula boleh dihukum denda tidak kurang RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A Aziz, mencadangkan ikat jamin sebanyak RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin warga tempatan dan pasport diserahkan kepada mahkamah hingga kes selesai.

Namun peguam, Mohd Razak Sharif, memaklumkan bahawa anak guamnya, Mhd Lihan adalah pekebun sawit dengan pendapatan RM2,500 hingga RM3,000 sebulan, manakala tertuduh wanita tidak bekerja.

Beliau berkata, tertuduh juga membuka kelas pengajian Islam secara percuma di Batu Pahat, Johor, dengan menanggung kos operasinya, selain masih menanggung tiga daripada lima anak mereka.

Justeru, Mohd Razak memohon jumlah ikat jamin rendah memandangkan pasangan itu memerlukan wang yang banyak untuk menjamin kedua-duanya, selain bersetuju dengan beberapa syarat tambahan.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM12,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan, menyerahkan pasport serta tidak mengganggu saksi.

Sebutan semula kes bagi serahan dokumen ditetapkan pada 11 Ogos depan. – Laporan Berita Harian

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *