Kes anggota polis tembak mati orang awam di Batu Kawa dipindah ke Mahkamah Tinggi

KUCHING – Mahkamah Majistret di sini, hari ini memerintahkan perbicaraan kes anggota polis yang didakwa melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di Jalan Stephen Yong, Batu Kawa, di sini, April lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuching.

Majistret Ling Hui Chuan membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Adriana Maisarah Mohd Farid untuk memindahkan kes Genesis Nitchell David Reddy, 29, yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Adriana Maisarah memaklumkan pihaknya sudah menerima laporan bedah siasat ke atas mayat mangsa, Muhammad Zaki Iderus, 34.

Tertuduh, anggota polis berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman diwakili peguam Russell Lim, Zoe Chan dan Brendan Ting dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, atau jika tidak dihukum mati, penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 26 April lalu, Ketua Polis Daerah Padawan Superitendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi dilaporkan berkata dua lelaki hadir ke Balai Polis Batu Kawa kira-kira 5.30 pagi, memberitahu seorang rakan mereka tidak sedarkan diri selepas ditembak dan berada di dalam kereta Perodua Myvi.

Pemeriksaan mendapati mangsa terkena dua das tembakan masing-masing di kepala dan lengan kanan.

Mohd Irwan turut memaklumkan polis berjaya menahan enam suspek termasuk dua rakan mangsa di beberapa lokasi berbeza sekitar bandar raya ini antara jam 4 petang dan 5.30 petang hari sama bagi membantu siasatan.

Penahanan semua suspek dibuat hanya beberapa jam selepas kes itu dilaporkan. Polis turut merampas sepucuk pistol bersama 10 butir peluru disyaki milik suspek utama.

Suspek dituduh di Mahkamah Majistret Kuching pada 6 Mei lalu manakala lima lagi yang lain dibebaskan selepas polis melengkapkan siasatan. – Laporan Berita Harian

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *