PUTRAJAYA – Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengesahkan maklumat mengenai kemungkinan penglibatan seorang warganegara Malaysia dalam insiden feri karam di Selat Bali.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, usaha sedang dijalankan untuk mengesahkan identiti mangsa yang terlibat.
“Kedutaan telah berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia sejak awal lagi dan pada mulanya dimaklumkan tiada warganegara Malaysia terlibat dalam insiden itu.
“Namun, berikutan laporan terbaharu menunjukkan kemungkinan terdapat seorang rakyat Malaysia antara mangsa, pihak Kedutaan giat bekerjasama dengan Jabatan Konsular Kementerian dan pihak berkuasa Indonesia bagi mengesahkan perkara ini,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menegaskan selagi operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan, Kedutaan akan terus menjalin hubungan rapat dan berterusan dengan semua agensi berkaitan.
Bagi mendapatkan bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di alamat Jl. H.R. Rasuna Said Kav.X/6, No. 1-3, Kuningan, Jakarta Selatan, Indonesia melalui talian +6281380813036 atau emel [mwjakarta@kln.gov.my](mailto:mwjakarta@kln.gov.my).
Mereka juga boleh menghubungi Konsul Kehormat Malaysia di Bali di talian +62361751953.
Bernama sebelum ini melaporkan sebuah feri yang membawa 12 anak kapal, 53 penumpang dan 22 kenderaan karam di Selat Bali lewat malam Rabu ketika dalam perjalanan dari Jawa Timur ke Bali.
Setakat semalam, sekurang-kurangnya enam maut, 29 masih hilang, manakala 30 yang lain berjaya diselamatkan, menurut Kementerian Pengangkutan Indonesia. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001