SABAH – Satu klip video pendek tular, memaparkan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Jeffrey Kitingan menyatakan partinya berhasrat untuk keluar dari gabungan kerajaan Sabah, Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Klip video selama 13 saat itu diterbitkan oleh portal berita MalaysiaNow di TikTok.
Dalam video tersebut, Timbalan Ketua Menteri Sabah itu kedengaran berkata: “Ya, kita akan keluar dari GRS. Tapi masih bersama dalam kerajaan”.
Bagaimanapun, MalaysiaNow memetik seorang pegawai Jeffrey yang tidak dinamakan sebagai berkata, kenyataan itu “dipetik di luar konteks dan berkait isu lain”.
Ketika dihubungi Malaysiakini, seorang lagi pembantu – yang juga enggan dinamakan disiarkan berkata, Presiden Star itu “tidak mempunyai sebarang komen lanjut” mengenai video tersebut.
Malaysiakini setakat ini belum dapat mengesahkan bila video itu dirakam.
Kitingan merupakan antara beberapa ahli politik Sabah yang didakwa terlibat dalam skandal rasuah lesen perlombongan di negeri itu.
Pada Sabtu lalu, Malaysiakini menyiarkan enam tangkap layar yang menurut satu sumber, diambil daripada rakaman video yang didakwa membabitkan pemimpin kanan dari Star dan PBS.
Malaysiakini telah diperlihatkan beberapa petikan daripada rakaman tersebut namun tidak diberi kebenaran untuk menyiarkannya.
Sumber berkenaan mendakwa Kitingan menerima rasuah berjumlah RM1.78 juta yang berkaitan dengan skandal itu.
Kitingan kemudiannya menafikan dakwaan tersebut, tetapi mengesahkan dia ada bertemu dengan ahli perniagaan, Albert Tei sekitar waktu rakaman video yang dikatakan itu dibuat.
Dia juga mendakwa wujud “tangan ghaib” yang cuba menggugat kestabilan kerajaan negeri.
Sebelum ini, Tei mendedahkan beberapa rakaman video yang mengaitkan pemimpin GRS lain, termasuk Speaker DUN Sabah, Kadzim Yahya dalam skandal perlombongan itu.
Tei baru-baru ini didakwa di mahkamah atas tuduhan merasuah Timbalan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Andi Suryady Bandy dan ADUN Sindumin, Yusof Yacob sebagai balasan untuk mendapatkan bantuan bagi kelulusan lesen cari gali mineral.
Andi dan Yusof turut didakwa atas pertuduhan menerima rasuah.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001