Pemandu warga emas maut, van bawa rombongan terbabas

KUNAK – Seorang lelaki warga emas maut manakala lapan lagi penumpang cedera selepas van dinaiki mereka terbabas di Jalan Bukit Ular, Kunak-Lahad Datu, di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa yang juga pemandu van berusia 74 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala lapan penumpang lain berusia antara 46 hingga 75 tahun hanya mengalami kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohamad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.19 pagi sebelum sepasukan enam anggota dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 40 kilometer dari balai.

“Kemalangan tersebut melibatkan sebuah van jenis Toyota Hiace yang terbabas sendiri ke bahu jalan.

“Dalam van tersebut terdapat sembilan individu termasuk pemandu yang membawa rombongan dari Semporna ke Kota Kinabalu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, seorang mangsa yang maut dipercayai pemandu tersepit di tempat duduk hadapan dan dikeluarkan menggunakan peralatan khas.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala semua mangsa yang cedera diberi rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) serta dibawa ke hospital bagi rawatan susulan.

Operasi menyelamat ditamatkan pada jam 9.09 pagi selepas lokasi kejadian disahkan selamat.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *