Oleh: Abd. Ghaffar Daud
KOTA BHARU – Seramai 18 peserta mengikuti Bengkel Intensif Penulisan Novel anjuran Persatuan Penulis dan Budayawan Kelantan (PESISIR) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) di sini, kelmarin.
Bengkel tersebut bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang dibimbing oleh Rohani Deraman atau Fida Rohani, seorang penulis terkenal dalam bidang penulisan novel, cerpen dan skrip drama televisyen.
Menurut Pengarah DBPWT, Ariza Che Ismail, besar harapan beliau agar peserta berkenaan mampu menghasikan sebuah novel tiap seorang dengan pelbagai judul demi hasil pulangan atas tenaga dan peruntukan yang diberi.

Katanya lagi, untuk siri kedua, beliau akan menjemput editor dan ketua editor dari ibu pejabat DBP Kuala Lumpur untuk melihat hasil karya peserta.
“Saya harap guru pembimbing, bimbinglah peserta ini mengikut kehendak DBP, mudah-mudahan hasil karya 18 peserta ini berjaya diterbitkan oleh pihak DBP.
“Kita akan lancarkan buku ini di sini bersama-sama buku terbaharu daripada peserta jika ada walaupun daripada penerbitan lain,” katanya ketika berucap pada bengkel itu.

Sementara itu, Ketua 1 PESISIR, Anuar Musa berkata, peserta yang hadir itu adalah yang berani, sanggup membuat sinopsis terlebih dahulu apabila diminta dan akan mengarang sebuah novel mengikut piawaian serta standard kehendak DBP.
“Kita mesti ada semangat dan komitmen yang tinggi dalam bidang penulisan dan berani menyahut cabaran.
“Selamat menulis dan jangan luntur semangat, letak sasaran kita pada majlis pelancaran buku nanti,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001