PUTRAJAYA – “Harapan saya pada hari ini selepas lima tahun menanti, saya hanya berdoa supaya kebenaran menang”. Demikian komen ringkas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum memasuki kamar Mahkamah Rayuan, hari ini, bagi mendengar keputusan rayuannya mengetepikan sabitan dan hukuman empat tuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dihadapinya berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Beliau turut menzahirkan rasa terhutang budi kepada keluarga, rakan-rakan kepimpinan MUDA dan penyokong yang tidak putus-putus memberikan sokongan dan mendoakannya.
“Saya juga terharu kerana tiga keempat hari yang lepas setiap malam melalui sesi ‘online’ di TikTok ada yang Zoom, TikTok, ada buat sesi pembacaan Yasin. Setiap malam saya terharu dan betul-betul terhutang budi.
“Cuma harapan saya pada hari ini selepas lima tahun menanti, saya hanya berdoa supaya kebenaran menang. Saya dapat membersihkan nama saya seperti yang saya janjikan iaitu melalui platform mahkamah,” ujarnya.
Syed Saddiq menegaskan, beliau menghormati dan menyanjungi institusi kehakiman sebagai platform terbaik untuk membersihkan nama seseorang.
“Biarlah diadili menggunakan fakta dan data dan pada masa yang sama diadili oleh Allah SWT,” katanya pada sidang media di lobi Istana Kehakiman, di sini, hari ini.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan keputusan tidak berpihak kepadanya, beliau dengan ringkas menjawab: “Saya rasa kita biar hakim menentukan dan kita nantikan keputusannya.”
Keputusan hari ini akan menjadi penentu sama ada Syed Saddiq akan bebas daripada semua pertuduhan, atau terpaksa meneruskan perjuangannya di Mahkamah Persekutuan.
Keputusan dijangka diumumkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, iaitu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin, sebentar lagi.
Peguam, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Syed Saddiq selaku perayu, manakala Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Farah Ezlin Yusop Khan, selesai berhujah di hadapan panel tiga hakim berkenaan pada 17 April lalu.
Pada 9 November 2023, Syed Saddiq memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001