Pentadbir toksik syok sendiri, penting diri, menyusahkan anak buah

TIDAK dinafikan tugasan guru sejak kebelakangan ini semakin bertambah. Bertambah beban pada waktu kerja lima hari seminggu, tak mengapa lagi. Ini bertambah beban bekerja di waktu rehat.

Maknanya budaya toksik yang diamalkan pentadbir sekolah tanpa memikirkan kebajikan para gurunya memaksa guru-guru bekerja tujuh hari seminggu tanpa rehat, tanpa dapat meluangkan masa bersama keluarga.

Budaya apakah ini? Menekan guru dengan kuasa yang ada, walaupun melanggar peraturan akta pekerjaan penjawat awam? Pentadbir seperti ini tidak layak diberikan sebarang anugerah, kerana ‘kerajinannya’ menganjurkan program-program pada hari rehat guru, bukan ibadah yang dituntut.

Selalunya, pentadbir seperti ini ada kepentingan diri. Tunjuk rajin ‘bekerja’ sehingga melibatkan tenaga para guru, adalah untuk dilihat oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri bahawa dia seorang yang berhemah dalam kerjayanya.

Sedangkan, hakikatnya, pentadbir itu telah ‘meragut’ sebahagian daripada kebahagiaan guru, yang sepatutnya menghabiskan waktu keemasan bersama keluarga atau pasangan, bagi yang baharu mendirikan rumah tangga.

Inilah sebahagian daripada luahan guru kepada NasionalDaily, selepas tidak tahan lagi dengan sikap pentadbir di sekolah-sekolah tertentu, yang hanya mementingkan diri sendiri, tanpa memikirkan kebajikan guru.

Kata guru berkenaan, mereka mempunyai anak yang kecil. Waktu kerja, mereka tak sempat nak bersama anak kerana kejar waktu ke sekolah. Begitu juga masa pulang. Anak berada di rumah pengasuh. Bila malam, anak sudah tidur.

Oleh itu, mereka mengharapkan hari cuti rehat Sabtu dan Ahad dapat menghabiskan masa bersama anak-anak, tetapi sikap toksik pentadbir menganjurkan program pada dua hari itu, menyebabkan ramai guru tertekan.

Tertekan dengan beban kerja di sekolah lagi, terbeban dengan tugasan program-program yang mementingkan diri pentadbir. Walaupun pekeliling membenarkan program diadakan Sabtu minggu pertama dan Sabtu minggu akhir, tetapi ada juga pentadbir toksik menganjurkan Sabtu dan Ahad minggu pertama, kedua, ketiga dan keempat.

Kemudian sambung lagi Sabtu dan Ahad minggu pertama bulan berikutnya sampai ke akhir tahun.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) harus memainkan peranan pentingnya dengan mendesak Kementerian Pendidikan agar turun padang melihat permasalahan ini. Jangan hanya dengar laporan positif dari pentadbir, dengar juga laporan negatif dari guru bawahan.

Guru bawahan ini adalah hamba abdi kepada pentadbir. Apa saja pentadbir nak lunaskan hajatnya, guru bawahan ini yang dikerah untuk menjayakan hajatnya. Sedangkan, guru bawahan ini adalah manusia. Ada keluarga, beranak pinak, ada keinginan berehat.

Jadi, tidak mustahillah para guru sekarang lebih suka memilih untuk bersara awal, daripada menunggu umur bersara wajib, yang bakal mengundang sakit jiwa berdepan dengan pentadbir toksik seperti ini. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *