KUMPULAN aktivis pelajar, Suara Mahasiswa UMS mengakhiri himpunan anti-rasuah di Kota Kinabalu dengan mesej berani iaitu membakar karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jurucakap kumpulan itu, Fadhil Kasim menegaskan, himpunan yang dinamakan “Gempur Rasuah Sabah 2.0” itu berakhir dengan aman tanpa sebarang gangguan daripada pihak berkuasa.
Kumpulan itu mempamerkan sepanduk besar memaparkan karikatur Anwar bersama tulisan “Madani Pelindung Rasuah Sabah”, yang diletakkan di lokasi terbuka dan dapat dilihat orang ramai.
Fadhil berkata, sepanduk itu melambangkan kritikan tajam terhadap kerajaan pimpinan Anwar, yang menurut mereka gagal menunaikan janji berkaitan reformasi institusi.
“Kami berucap, melaungkan slogan-slogan mahasiswa dan pidato mengenai hipokrasi Anwar Ibrahim dalam menguruskan skandal rasuah di Sabah,” katanya dipetik MalaysiaKini.
Sebelum ini, polis Sabah mengesahkan menerima notis penganjuran perhimpunan itu di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Dalam kenyataan berasingan, penganjur menyifatkan tindakan membakar karikatur itu sebagai mesej dan satu kecaman keras terhadap kerajaan Madani.
“Mesej paling besar dari himpunan ini ialah kritikan keras terhadap hipokrasi kepimpinan Madani dalam soal reformasi institusi dan janji memerangi rasuah,” kata sekretariat penganjur.
Kumpulan itu turut merujuk kenyataan terkini Anwar yang menggesa golongan muda bangkit memerangi rasuah.
“Hari ini membuktikan bahawa mahasiswa dengan idealisme dan keberanian telah menyahut cabaran itu dalam memerangi rasuah di Sabah,” ujar mereka.
Peserta himpunan yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar universiti turut menyasarkan Adun Sabah yang dikaitkan dengan skandal rasuah lesen perlombongan di negeri itu, serta bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman.
Lebih 100 pelajar dan penyokong berhimpun menyuarakan tuntutan mereka, terutamanya bagi mendesak tindakan undang-undang terhadap Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) serta menuntut autonomi penuh diberikan kepada SPRM.
Himpunan itu turut menuntut tindakan tegas dikenakan terhadap individu yang terlibat dalam rasuah, termasuk penggantungan ke atas mereka yang telah didakwa.
Sementara itu, Fadhil berkata, penganjur himpunan akan membuat laporan polis berhubung insiden serangan asid yang didakwa berlaku ke atas salah sebuah kenderaan milik mereka malam tadi.
“Sengaja kami tidak membuat laporan malam tadi kerana kami mahu bertahan dulu di Lintasan Deasoka.
“Tetapi malam ini, kami bersama peguam akan hadir ke balai polis berhmapiran kejadian tersebut untuk membuat laporan,” katanya.
Dalam satu hantaran di Facebook malam tadi, Fadhil memaklumkan beberapa pelajar ternampak beberapa lelaki bertindak mencurigakan berhampiran kereta yang diparkir di kawasan Majlis Bandaraya Kota Kinabalu (MBKK).
Fadhil, yang turut berkongsi beberapa gambar kerosakan pada sebuah kereta berwarna putih, mendakwa lelaki-lelaki terbabit melarikan diri sebaik sahaja didekati. – MK
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001