Australia sambar tiket ke Piala Dunia

OSAKA, Jepun – Australia mengesahkan layak ke Piala Dunia tahun depan di Amerika Utara, manakala Oman menggagalkan harapan Palestin untuk membuat penampilan sulung di kejohanan utama dunia apabila meraih keputusan seri dramatik di Jordan, awal pagi tadi.

Skuad Socceroos bimbingan Tony Popovic, yang menjadi pilihan utama untuk mara ke pusingan seterusnya pada aksi terakhir pusingan ketiga, menewaskan pencabar utama Arab Saudi 2-1 di Jeddah bagi memastikan tempat automatik kedua dalam Kumpulan C.

Arab Saudi pula terpaksa berpuas hati dengan tiket ke pusingan keempat bersama Indonesia. Jepun sudah mengesahkan kedudukan teratas kumpulan lebih awal.

Skuad Arab Saudi bimbingan Herve Renard turun ke Stadium Bandar Sukan Raja Abdullah dengan misi wajib menang dengan perbezaan lima gol untuk memintas Australia di tangga kedua.

Tuan rumah bermula dengan cemerlang apabila Abdulrahman Al-Aboud menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-19.

Namun Australia menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama menerusi rembatan kaki kiri Connor Metcalfe.

Australia kemudiannya mendahului tiga minit selepas rehat apabila Mitch Duke menanduk masuk hantaran lintang Martin Boyle.

Penjaga gol Mathew Ryan muncul wira Australia apabila menyelamatkan sepakan penalti lewat permainan daripada Salem Al-Dawsari, sekali gus memastikan kemenangan bermakna dan penampilan keenam berturut-turut mereka di Piala Dunia.

Dalam Kumpulan B, harapan Palestin hancur apabila mereka menghadiahkan sepakan penalti kepada Oman pada masa kecederaan, yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 di Amman.

Palestin, yang terpaksa bermain di gelanggang berkecuali, mendahului pada minit ke-49 di Stadium Raja Abdullah II apabila Oday Kharoub menanduk masuk sepakan sudut Adam Kaied ke penjuru atas gawang.

Oman kehilangan seorang pemain pada minit ke-73 apabila Harib Al-Saadi dilayangkan kad kuning kedua.

Namun mereka tetap berjaya mencuri satu mata berharga pada minit ke-97 apabila Issam Al-Sabhi menyempurnakan sepakan penalti selepas Ahmad Taha melakukan kekasaran ke atas Muhsen Al-Ghassani.

Keputusan itu menyaksikan Oman menamatkan saingan di tangga keempat kumpulan dan menyingkirkan Palestin untuk mara ke pusingan kelayakan seterusnya.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan layak secara automatik ke Piala Dunia di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada, manakala pasukan di tangga ketiga dan keempat akan bersaing di pusingan keempat kelayakan.

Pusingan keempat yang akan berlangsung pada Oktober ini dibahagikan kepada dua kumpulan dengan tiga pasukan dan hanya dua tempat terakhir ke Piala Dunia menjadi rebutan antara Oman, UAE, Qatar, Iraq, Arab Saudi dan Indonesia.

Terdahulu malam tadi, penyerang Crystal Palace, Daichi Kamada meledak dua gol buat Jepun manakala pemain Paris Saint-Germain, Lee Kang In menjaringkan gol untuk Korea Selatan ketika kedua-dua pasukan gergasi Asia itu menamatkan kempen kelayakan mereka dengan bergaya.

Jepun membelasah Indonesia bimbingan Patrick Kluivert 6-0 di Osaka, manakala Korea Selatan mudah menundukkan Kuwait 4-0 di Seoul, yang mana penyokong turut disajikan dengan kemunculan lewat bintang kesayangan mereka, Son Heung Min.

Bintang Tottenham, Heung Min yang bergelut dengan kecederaan, masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-75.

Iran dan Uzbekistan sudah pun layak ke Piala Dunia daripada Kumpulan A, begitu juga Jordan dan Korea Selatan dari Kumpulan B, yang memastikan kelayakan lebih awal minggu lalu.

Iraq pula mengesahkan tangga ketiga kumpulan selepas menewaskan Jordan 1-0 di Amman, walaupun Jordan sudah layak ke Piala Dunia buat julung kali dalam sejarah mereka. – AFP

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *