Oleh: Datuk Mohamad Fauzi Husin

ADA satu persoalan yang semakin sukar untuk dielakkan. Mengapa dalam sebuah negara yang mempunyai begitu banyak undang-undang, institusi penguatkuasaan, dasar integriti dan kempen antirasuah, kita masih berdepan dengan kes rasuah yang melibatkan ahli politik, anggota pentadbiran dan pegawai kanan kerajaan?
Lebih menghairankan, sebahagian daripada mereka bukan orang yang tidak tahu tentang integriti. Mereka adalah orang yang menggubal dasar integriti. Mereka yang berucap tentang amanah. Mereka yang melancarkan kempen antirasuah pelan atau polisi kerajaan untuk dipatuhi. Mereka yang menandatangani “Ikrar Integriti Perkhidmatan Awam” atau “Ikrar Bebas Rasuah”.
Mereka yang mempunyai kuasa untuk memastikan tadbir urus dilaksanakan. Namun apabila kuasa bertembung dengan kepentingan, persoalannya menjadi lebih rumit: Adakah integriti benar-benar dihayati, atau sekadar dipamerkan? Di sinilah kita perlu melihat hubungan antara politik imej dan realiti kekuasaan.
Apabila Persepsi Menjadi Mata Wang Kuasa
Dalam politik moden, persepsi mempunyai nilai yang sangat besar. Pemimpin bukan sahaja perlu memerintah. Mereka perlu kelihatan baik. Mereka perlu kelihatan dekat dengan rakyat. Mereka perlu kelihatan prihatin. Mereka perlu kelihatan bersih. Mereka perlu kelihatan tegas terhadap rasuah. Media sosial pula menjadikan pembentukan imej jauh lebih mudah.
Satu program kebajikan boleh menjadi kandungan media. Satu ucapan integriti boleh menjadi tajuk berita. Satu ikrar antirasuah boleh menjadi bahan publisiti dalam media sosial. Akan tetapi persoalan yang lebih penting ialah: Apakah yang berlaku selepas kamera dimatikan? Di sinilah perbezaan antara imej integriti dengan realiti integriti. Hal ini kerana Integriti bukan apa yang kita katakan tentang diri kita. Integriti ialah apa yang kita lakukan apabila tiada siapa melihat.
Integriti Tidak Boleh Berhenti Pada Ucapan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Kita boleh mempunyai dasar antirasuah yang cantik. Kita boleh mempunyai pelan integriti yang lengkap. Kita boleh menubuhkan jawatankuasa tatakelola. Kita boleh mengadakan seminar integriti. Kita boleh melancarkan pelbagai kempen. Akan tetapi jika keputusan sebenar masih dipengaruhi oleh kepentingan peribadi, kronisme, konflik kepentingan atau campur tangan politik, maka semua itu hanya menjadi hiasan pentadbiran. Lebih tepat, ia adalah integriti palsu.
Allah SWT berfirman bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan.” (Surah Al Saff, ayat 2–3)
Ayat ini sangat relevan dengan persoalan integriti. Kata dan tindakan mesti berjalan seiring. Jika kita bercakap tentang integriti tetapi membiarkan konflik kepentingan, kita mempunyai masalah. Jika kita bercakap tentang antirasuah tetapi membela rasuah apabila melibatkan orang sendiri, kita mempunyai masalah. Jika kita menuntut ketelusan daripada orang lain tetapi tidak bersedia untuk telus terhadap diri sendiri, kita mempunyai masalah.
Tiga Bekas Perdana Menteri, Satu Persoalan Besar
Perkembangan semasa memberikan kita gambaran yang cukup luar biasa. Pada 27 Ogos 2026, tiga bekas Perdana Menteri iaitu, Dato” Sri Mohd Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi prosiding kes yang berbeza. Ada yang menghadapi prosiding kes dan ada yang pertama kali menghadapi pertuduhan rasuah.
Kita mesti berlaku adil. Kes mereka berbeza. Najib telah melalui proses sabitan dalam kes SRC International dan sedang menjalani hukuman, manakala prosiding sivil 1MDB bernilai AS$5.64 bilion masih berjalan. Muhyiddin pula sedang menghadapi perbicaraan berkaitan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram serta telah mengaku tidak bersalah. Ismail Sabri pula hari ini didakwa atas pertuduhan gagal mematuhi notis pengisytiharan aset dan turut mengaku tidak bersalah. Kes-kes yang masih dalam perbicaraan tidak boleh dianggap sebagai kesalahan yang telah dibuktikan.
Namun perkembangan ini tetap menimbulkan satu persoalan yang lebih besar: Apakah yang berlaku kepada integriti apabila seseorang memegang kuasa yang sangat besar? Persoalan itu tidak seharusnya ditujukan kepada satu parti sahaja. Ia mesti ditujukan kepada seluruh ekosistem politik dan pentadbiran.
Rasuah Tidak Semestinya Berbentuk Wang Dalam Akaun Peribadi
Salah satu kesilapan dalam memahami rasuah ialah menganggap seseorang hanya boleh dianggap mendapat manfaat apabila wang masuk terus ke akaun peribadinya. Realitinya lebih kompleks. Wang boleh bergerak melalui syarikat. Melalui pihak ketiga. Melalui organisasi. Melalui proksi. Melalui transaksi yang kelihatan sah. Sebab itu pendekatan “follow the money” amat penting.
Kita perlu bertanya: Siapa yang menerima? Siapa yang memberi? Siapa yang meluluskan? Siapa yang mendapat kontrak? Siapa pemilik sebenar? Siapa yang mendapat manfaat akhirnya? Apa yang lebih penting: Adakah keputusan itu dibuat demi rakyat atau demi kepentingan peribadi atau kroni tertentu?
“Pengerusi Politik” Dan Persoalan Konflik Kepentingan
Satu lagi persoalan yang perlu dibincangkan secara terbuka ialah pelantikan ahli politik ke jawatan dalam badan berkanun, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan. Pelantikan seperti ini tidak semestinya salah. Dalam keadaan tertentu, pengalaman politik dan kefahaman dasar kerajaan mungkin mempunyai nilai. Akan tetapi persoalannya ialah: Apakah kelayakan yang diperlukan? Apakah proses pemilihannya? Adakah konflik kepentingan diisytiharkan? Adakah prestasi dinilai secara objektif? Adakah lembaga pengarah benar-benar bebas? Adakah seseorang dilantik kerana kompetensi atau kerana kedudukan politik? Hal ini penting kerana apabila kuasa politik, kepentingan perniagaan dan pengurusan wang awam bertemu tanpa kawalan yang kukuh, risiko konflik kepentingan adalah tinggi dan meningkat.
Kerugian Bukan Semestinya Rasuah, Tetapi Kerugian Mesti Dijelaskan
Di sinilah isu audit menjadi penting. Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) menunjukkan bahawa daripada 217 anak syarikat di bawah 59 agensi Persekutuan, 86 mencatat kerugian berjumlah RM2.81 bilion bagi tahun 2023. Laporan itu turut mengenal pasti beberapa anak syarikat milik FELDA dan Tabung Haji antara entiti yang mengalami kerugian. LKAN juga pernah melaporkan FELDA mencatat kerugian bersih RM1.005 bilion pada 2022. Namun kita perlu berhati-hati, kerugian tidak sama dengan rasuah.
Sebuah syarikat boleh rugi kerana keadaan pasaran, kadar faedah, kemerosotan nilai aset, kos pembiayaan, keputusan pelaburan atau faktor ekonomi lain. Akan tetapi apabila wang awam terlibat, rakyat berhak bertanya: Mengapa kerugian berlaku? Siapa membuat keputusan? Apakah proses kelulusan? Apakah risiko telah dinilai? Adakah terdapat konflik kepentingan? Adakah terdapat kecuaian? Adakah terdapat penyalahgunaan kuasa? Sekiranya ada unsur jenayah: Siapa yang bertanggungjawab? Hal inilah fungsi audit dan akauntabiliti. Bukan untuk menghukum seseorang tanpa bukti, tetapi untuk memastikan setiap keputusan yang melibatkan dana awam atau wang rakyat boleh dipertanggungjawabkan.
Ketika Imej “Pembela Rakyat” Bertembung Dengan Realiti
Hal inilah paradoks politik. Seseorang boleh bercakap tentang rakyat pada waktu siang. Tetapi keputusan yang dibuat di belakang tabir mungkin memberi manfaat kepada kelompok tertentu. Seseorang boleh bercakap tentang integriti. Akan tetapi gagal mengurus konflik kepentingan. Seseorang boleh bercakap tentang ketelusan. Tetapi tidak bersedia menjelaskan kekayaan atau keputusan yang menimbulkan persoalan. Seseorang boleh bercakap tentang keadilan. Akan tetapi hanya marah apabila pihak sendiri dikenakan tindakan. Maka kita perlu bertanya: Adakah kita menilai pemimpin dan kepemimpinan berdasarkan apa yang mereka katakan atau apa yang mereka lakukan?
Politik Dua Standard Membunuh Integriti
Antara perkara paling berbahaya dalam politik ialah “standard berganda”. Jika pemimpin politik dari pihak pembangkang disiasat, kita menuntut ketelusan. Jika pemimpin sendiri disiasat, kita meminta rakyat bersabar. Jika orang lain didakwa, kita menganggap mereka bersalah. Jika orang sendiri didakwa, kita berkata: “Tunggu keputusan mahkamah.” Jika ada pemimpin sendiri terlepas dari sabitan hukuman, kita berkata: “Mahkamah buat keputusan adil dan tepat”. Jika pemimpin sendiri disabitkan hukuman, kita berkata: “Berlaku pendakwaan terpilih” atau “Hakim bias”.
Prinsip yang betul ialah: Tunggu mahkamah untuk menentukan disabitkan bersalah atau dibebaskan, tetapi jangan tunggu mahkamah untuk membina sistem integriti. Hal ini dua perkara yang berbeza. Kita mesti menghormati prinsip seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Akan tetapi pada masa yang sama, kita mesti menuntut ketelusan, tadbir urus dan pencegahan yang lebih baik.
Bukan Hanya Ahli Politik
Persoalan integriti tidak boleh berhenti pada ahli politik. Ia juga melibatkan anggota pentadbiran dan pegawai awam. Hal ini kerana keputusan kerajaan tidak dibuat oleh ahli politik sahaja. Ada Menteri. Ada Timbalan Menteri. Ada Ketua Setiausaha kementerian. Ada Ketua Pengarah jabatan. Ada pegawai perolehan. Ada ahli lembaga. Ada pegawai kewangan. Ada lembaga penasihat. Ada konsultan. Ada pihak swasta yang berurusan dengan kerajaan. Maka rasuah tidak boleh dilihat sebagai masalah politik semata-mata. Ia adalah masalah ekosistem kuasa. Apabila kuasa politik bertemu dengan kuasa pentadbiran dan kepentingan ekonomi, sempadan antara kepentingan awam dan kepentingan peribadi mesti dikawal dengan sangat ketat.
Kuasa Adalah Ujian
Dalam Islam, jawatan bukan kemuliaan mutlak. Ia adalah amanah. Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Maksudnya sangat jelas. Perdana Menteri akan dipersoalkan. Menteri akan dipersoalkan. Ahli politik akan dipersoalkan. Pegawai awam akan dipersoalkan. Ketua Jabatan akan dipersoalkan. Bahkan setiap individu akan dipersoalkan mengikut amanah yang dipikul. Sebab itu kuasa sepatutnya melahirkan rasa takut kepada pertanggungjawaban, bukan rasa kebal daripada undang-undang.
Rasuah Bermula Apabila Amanah Dilihat Sebagai Peluang
Perubahan paling berbahaya berlaku apabila seseorang mula melihat jawatan bukan sebagai amanah tetapi sebagai peluang. Peluang mendapatkan projek. Peluang melantik ahli keluarga sendiri. Peluang mempengaruhi keputusan. Peluang mengumpul kekayaan. Peluang membantu kroni. Peluang membalas jasa politik. Pada titik itu, kepentingan awam mula digantikan oleh kepentingan peribadi. Apabila perkara itu berlaku secara sistematik, negara bukan sahaja menghadapi masalah rasuah. Negara menghadapi krisis amanah.
Jadi, sampai bila? Kita sudah mempunyai undang-undang. Kita mempunyai institusi penguatkuasaan. Kita mempunyai audit. Kita mempunyai pelan antirasuah. Kita mempunyai dasar integriti. Kita mempunyai pelbagai jawatankuasa tadbir urus. Akan tetapi persoalannya: Adakah semua itu cukup jika manusia yang memegang kuasa tidak menghayati amanah? Jawapannya tentu tidak. Sistem yang baik diperlukan. Akan tetapi jiwa yang berintegriti juga diperlukan.
Penguatkuasaan diperlukan. Keberanian politik juga diperlukan. Audit diperlukan. Tetapi tindakan susulan mesti dilakukan. Undang-undang diperlukan. Tetapi undang-undang mesti terpakai secara adil kepada semua.
Penutup
Akhirnya, rakyat tidak memerlukan pemimpin yang paling pandai bercakap tentang integriti. Rakyat memerlukan pemimpin yang membina imej integriti, bina realiti integriti dan hidup dengan integriti. Tidak perlu terlalu banyak slogan. Tidak perlu terlalu banyak publisiti. Tidak perlu terlalu banyak ikrar. Jika tindakan benar-benar bersih, rakyat akan melihatnya. Hal ini kerana pemimpin yang benar-benar berintegriti tidak perlu terlalu sibuk membina imej.
Sebaliknya, apabila imej terlalu indah tetapi realiti terlalu gelap, lambat-laun kebenaran akan mencari jalannya. Kes-kes rasuah yang melibatkan pemimpin politik, termasuk mereka yang pernah berada di puncak kuasa negara, seharusnya menjadi peringatan bahawa jawatan tinggi tidak menghapuskan keperluan untuk dipertanggungjawabkan. Hari ini kita melihat bekas pemimpin negara hadir ke mahkamah dalam kes yang berbeza. Itu bukan alasan untuk kita menghukum sesiapa sebelum mahkamah membuat keputusan. Sebaliknya, ia harus menjadi cermin kepada seluruh sistem. Cermin untuk ahli politik. Cermin untuk anggota pentadbiran. Cermin untuk pegawai awam. Cermin untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Cermin untuk institusi awam. Akhirnya, cermin untuk kita semua.
Persoalan sebenar bukan sekadar: “Siapa yang rasuah?” Tetapi: “Mengapa sistem dan budaya kita masih memberi ruang kepada rasuah?” Persoalan yang lebih besar: “Sampai bila kita akan membina politik yang hebat pada imej, tetapi lemah pada integriti?” Pada hal kuasa bukan milik peribadi. Jawatan bukan hak mutlak. Wang kerajaan bukan wang pemimpin. Hal ini pada akhirnya, yang dinilai bukan sehebat mana kita membina imej, tetapi sejauh mana kita berani menegakkan kebenaran apabila kita memegang kuasa.
Datuk Mohamad Fauzi Husin ialah Presiden, Pertubuhan Integriti Dan Antirasuah (INTRAS), Mantan Timbalan Pesuruhjaya SPRM
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
