GRAZ – Seorang bekas pelajar menembak mati 10 orang semalam selepas dia melepaskan tembakan di sebuah sekolah menengah di tenggara Austria sebelum bertindak membunuh diri, menurut pihak berkuasa mengenai insiden keganasan bersenjata yang mengejutkan negara Alpine itu.
Menurut polis, pasukan lengkap bersenjata bersama pasukan perubatan kecemasan serta sebuah helikopter digegaskan ke Sekolah Menengah Dreierschuetzengasse di Graz selepas penyerang berusia 21 tahun itu bertindak sendirian.
Katanya, sembilan mangsa disahkan maut di tempat kejadian, manakala seorang wanita meninggal dunia akibat kecederaan di hospital.
Tujuh daripada mangsa adalah wanita, dan selebihnya lelaki, kata pihak berkuasa tanpa mendedahkan usia mereka.
Seorang pelajar warga Perancis berusia 17 tahun turut terkorban, menurut bapa mangsa kepada AFP.
Seramai 12 orang lagi mengalami kecederaan serius dan polis memaklumkan bantuan psikologi sedang diberikan kepada saksi serta mereka yang terjejas.
Menurut polis lagi, suspek bertindak sendirian dan membunuh diri di dalam tandas sekolah.
Polis juga menemui sepucuk surat selamat tinggal yang ditujukan kepada ibu bapanya ketika membuat pemeriksaan di kediaman suspek, namun surat itu tidak mengandungi sebarang petunjuk mengenai motif serangan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Canselor Austria, Christian Stocker, mengisytiharkan tempoh tiga hari berkabung negara sebagai memperingati mangsa, sambil menyatakan negara itu menyaksikan ‘satu tindakan keganasan yang tidak pernah dibayangkan’.
Menurut polis, suspek yang didakwa melakukan serangan adalah warganegara Austria dari wilayah Graz dan menggunakan dua pucuk senjata api yang dimiliki secara sah.
Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Gerhard Karner, berkata lelaki itu adalah bekas pelajar sekolah berkenaan, namun tidak menamatkan pengajian.
Sejambak bunga dan lilin diletakkan di hadapan sekolah yang menempatkan kira-kira 400 pelajar berusia antara 14 hingga 18 tahun, manakala beberapa premis perniagaan berdekatan menutup operasi sebagai tanda penghormatan.
Setibanya di Graz, Canselor Stocker menyifatkan insiden itu sebagai ‘tragedi nasional’ dan ‘hari yang gelap’ buat Austria.
Ucapan takziah turut mencurah dari seluruh Eropah.
Sementara itu, Presiden Perancis Emmanuel Macron, berkata Perancis merakamkan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa, rakyat Austria dan Canselor Stocker dalam saat yang sukar itu.
Canselor Jerman Friedrich Merz pula menyatakan negaranya berada bersama rakan dan negara jiran terbabit susulan insiden tembakan ‘menggerunkan’ itu.
Perdana Menteri, Hungary Viktor Orban turut menyampaikan ucapan takziah. Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, berkata berita dari Graz cukup menyentuh perasaannya, manakala Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa susulan ‘insiden tragik’ itu.
Kejadian serangan awam jarang berlaku di Austria, sebuah negara yang mempunyai kira-kira 9.2 juta penduduk dan berada dalam senarai 10 negara paling selamat di dunia, menurut Indeks Keamanan Global.
Walaupun masih kurang kerap berbanding di Amerika Syarikat, benua Eropah sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut digemparkan dengan serangan di sekolah dan universiti yang tidak berkaitan dengan keganasan.
Semalam, di Perancis, seorang pembantu guru maut dalam serangan tikaman di sebuah sekolah di bandar Nogent, timur negara itu.
Pada Januari lalu, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun menikam mati seorang pelajar dan seorang guru di sebuah sekolah di timur laut Slovakia.
Manakala pada Disember tahun lalu, seorang lelaki berusia 19 tahun menikam mati seorang murid berusia tujuh tahun dan mencederakan beberapa yang lain di sebuah sekolah rendah di Zagreb, Croatia.
Seterusnya pada Disember 2023, serangan oleh seorang pelajar di sebuah universiti di tengah Prague mengorbankan 14 nyawa dan mencederakan 25 orang.
Beberapa bulan sebelum itu, seorang remaja berusia 13 tahun melepaskan tembakan sehingga mengorbankan sembilan rakan sekelas dan seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah di Belgrade.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
