LONDON – Pemain Manchester United, Amad Diallo berkata dia tidak sepatutnya menunjukkan isyarat lucah dengan jari apabila berjalan melepasi peminat ketika jelajah pasca musim di Asia tetapi tidak kesal melakukannya apabila seseorang didakwa menghina ibunya.
Pemain sayap Ivory Coast berusia 22 tahun itu dilihat mengangkat jari tengahnya ketika pasukan itu berjalan melepasi peminat di Kuala Lumpur, bila mana mereka tewas kepada ASEAN All-Stars malam kelmarin.
“Saya hormati orang lain tetapi tidak kepada yang menghina ibu saya. Saya tidak patut bertindak sebegitu tetapi saya tidak kesal dengan apa yang saya lakukan,” tulis Diallo dalam laman X semalam.
“Kami mengharungi masa hebat di Malaysia dengan orang yang baik.”
Diallo tampil sebagai pemain gantian pada babak kedua ketika kekalahan 1-0 itu.
Pemain turut dicemuh dan diejek selepas kekalahan itu dan bos United, Ruben Amorim berkata pasukannya, yang berakhir di tangga ke-15 Liga Perdana Inggeris, tidak patut melarikan diri daripada penyokong mereka.
Dalam satu klip yang dikongsi di media sosial oleh seorang penyokong, Diallo dilihat melepasi sekelompok peminat yang melaung-laungkan namanya.
Dia kemudian menunjukkan isyarat lucah dengan jari tengahnya yang dilihat ditujukan ke arah penyokong tempatan.
Dalam insiden berbeza, ketika dia turun dari bas pasukan Manchester United, dia dilihat sekali lagi menunjukkan isyarat lucah.
Seorang lagi pemain sayap United berusia 20 tahun, Alejandro Garnacho turut dilihat membuat isyarat sama.
Selepas perlawanan pertama United pada jelajah itu, Garnacho – yang dimaklumkan supaya mencari kelab baharu oleh Amorim – dilihat menunjukkan isyarat lucah ke arah kamera ketika dia berjalan keluar padang di Stadium Nasional.
Sementara itu, dalam satu sesi bergambar berasingan, sekelompok pemain United termasuk Diallo dan Garnacho dilihat melayan swafoto bersama sepasang penyokong.
Kedua-duanya dengan riak wajah muram menunjukkan isyarat lucah sambil berdiri di depan gambar kumpulan itu, yang turut disertai penyerang Joshua Zirkzee dan beberapa pemain muda United.
Satu lagi interaksi berlainan dengan peminat menyaksikan Diallo, Garnacho dan Ayden Heaven meminta peminat tempatan membantu mereka membayar perkhidmatan e-skuter Beam untuk bersiar-siar di bandar raya.
Sementara Garnacho kelihatan tidak senang ketika satu sesi menandatangani jersi buat peminat.
Sebelum perlawanan itu, bintang United dilihat bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur menaiki bas tidak berbumbung.
United melengkapkan jelajah pasca musim mereka menentang Hong Kong malam ini. – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001