Nurul Izzah gesa PKR Kelantan ganda usaha tambah ahli

Tak adil label Nurul Izzah ‘gagal’ jika PKR tanding kurang 13 kerusi

PETALING JAYA – Tidak adil mempersoalkan kemampuan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden PKR semata-mata jika parti itu gagal bertanding minimum 13 kerusi pada PRN Sabah, kata penganalisis.

Menurut Chin Yee Mun, banyak faktor akan diambil kira dalam agihan kerusi di antara parti dalam Pakatan Harapan (PH) selain Gabungan Rakyat Sabah (GRS) jika wujud kerjasama dengan gabungan parti tempatan itu, termasuk pencapaiannya pada PRN 2020.

PRN berlangsung lima tahun lalu itu menyaksikan parti terbabit menang DUN Api-Api menerusi Christina Liew serta Peto Galim di Inanam. PKR yang bergabung dengan Warisan bertanding di tujuh kerusi.

Chin berkata agihan kerusi dijangka sengit dengan GRS memandangkan gabungan itu mempunyai kekuatan berdasarkan sokongan rakyat hasil pentadbiran baik kerajaan Sabah diketuainya.

“Jadi tidak adil mengatakannya gagal jika PKR tidak dapat bertanding 13 kerusi kerana banyak faktor lain seperti pencapaian pilihan raya dan strategi PH sendiri,” kata ahli akademik dari Universiti Tunku Abdul Rahman itu kepada FMT.

Beliau mengulas sama ada Nurul Izzah wajar dianggap gagal dan peranannya sebagai ‘panglima’ pilihan raya baharu dipersoal jika sasaran PKR untuk bertanding 13 kerusi pada PRN Sabah tidak menjadi realiti.

Nurul Izzah akan memikul tugas untuk mengendali jentera pilihan raya dengan PRN Sabah yang akan diadakan pada bila-bila masa bakal menjadi ujian pertama.

Pemangku Ketua Penerangan PKR Sabah Razeef Rakimin dilaporkan FMT berkata pihaknya menyasarkan bertanding 10 hingga 14 DUN, namun jika kerjasama melibatkan GRS, jumlah minimum 13 kerusi dinyatakan Nurul Izzah agak besar.

Justeru, pihaknya menunggu keputusan muktamad mengenai rakan gabungan baharu sebelum jumlah kerusi diputuskan.

Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya (UM) pula berkata PKR mungkin mampu menambah kerusi di Sabah berbanding dua DUN ketika ini, dengan gandingan kerjasama bersama GRS.

“Jika mereka bergandingan, PRN Sabah akan dilalui dengan mudah kedua-dua parti ini.

“Politik sekarang dinamik, banyak kawasan dan negeri yang dulu bukan kubu kuat kini sudah berubah,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *