Jangan Berhenti Belajar

Catatan Hari Lahir

Oleh: Mohd. Shah Abdullah

BILA tiba hari lahir kita biasanya meraikannya mengikut cara dan gaya masing-masing. Minimumnya kita akan berkumpul bersama keluarga, memotong kek dan makan-makan. Tanda dan isyarat bersyukurnya kita kerana diberi nafas panjang untuk terus menikmati aroma kehidupan.

Aroma kehidupan ini pasti disusuli mehnah kematian. Sebelum berpindah ke alam lain yang penuh misteri itu, baik kita fokus terhadap sisi-sisi kehidupan di sini. Mereka yang sudah bersara atau melewati usia warga emas biasanya akan menikmati hidup baharu selepas menempuh zaman berkerjaya.

Sambutan Hari Lahir bagi warga emas pula biasanya masa untuk bermuhasabah merenung ke dalam diri kerana kesempatan masa kita semakin singkat. Seperti kerapkali diungkapkan, usia umat Muhammad s.a.w. biasanya sekitaran 60-70 tahun.

Jika begitu, memang waktu warga emas terbatas sekali. Begitu pun jangan cepat kecewa, berputus asa dan mengalah. Hidup sebuah perjalanan yang memang tidak pernah sempurna. Kita pernah susah, senang, sihat, sakit, jatuh bangun dan segala pancaroba kehidupan.

Kita tetap melaluinya dengan yakin diri, sabar, tabah dan cekal. Kita sedar tidak keseorangan dalam menempuh kembara kehidupan ini kerana Tuhan selalu ada di sisi, tempat pergantungan paling mutlak sekalipun seluruh makhluk berpakat untuk meninggalkan kita.

Justeru, usia adalah modal terbesar dalam kehidupan manusia. Memanfaatkan ruang waktu dan batas masa menjadikan kita kreatif, produktif dan kaya imaginasi. Jangan membazir waktu kerana bila pergi, ia tidak akan berpatah balik. Jika menyesal dan menitis airmata darah sekalipun, waktu tetap melangkah ke muka.

Hari lahir seharusnya mengingatkan kita hari kematian. Namun, biarlah kematian itu menjadi peninggalan berharga paling tidak buat keluarga dan masyarakat setempat kita.

Ada orang yang bila mati, namanya terpahat dalam lembaran sejarah kemuliaan. Selain Nabi-Nabi dan Rasul serta sahabat, golongan ilmuan@ulamak, misalnya meninggalkan legasi atau warisan keilmuan yang tiada tolok bandingannya.

Imam Al-Ghazali r.a. (m1111) sehingga kini dan masa ke muka dikenang lantaran sumbangan keilmuan, permata hikmah kesarjanaan yang menjadi telaah dan rujukan umat.

Magnum opus atau mahakarya beliau, Ihya Ulumuddin sehingga kini terus dibaca, disaring dan diajar di semua peringkat pendidikan. Malah pengajian tinggi turut memilih karya-karya Al-Ghazali sebagai teks rujukan turath kerana kualiti ilmu dan mesej kesarjanaan yang sarat makna.

Banyak lagi contoh-contoh bagaimana “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama” dalam pahatan sejarah ketamadunan manusia. Besar jasa dan sumbangan mereka.

Kita mungkin tidak berupaya mencapai ke tahap tersebut, tetapi sekurang-kurangnya kita berbuat sesuatu sebagai batu tanda kenangan untuk generasi kemudian. Atau barangkali kita membuat pengisian diri ketika menempuh zaman warga emas yang berkilau.

Kita boleh sahaja misalnya mengikuti kursus kemahiran, belajar bahasa kedua, ketiga, atau mengikuti kelas al-Quran mendalami makna dan mesej al-Quran selain memantapkan ilmu tajwid.

Kita juga boleh mengikuti kursus-kursus persijilan untuk menokok nilai tambah pengetahuan dan kemahiran. Ingat kita bukan lagi menggunakan sijil untuk memulakan kerjaya baharu tetapi menghidupkan proses pembelajaran sepanjang hayat.

Bila belajar sel-sel otak kita sentiasa bergerak dan berfikir. Minda kita sentiasa cerdas dan cergas

Demikian juga fizikal kita turut bergerak dengan kita melakukan senaman, berolahraga mengikut kemampuan manakala rohani kita hidup subur dengan zikir, majlis ilmu dan solat.

Semua ini merupakan pakej gabungan sempurna untuk menjadikan kita tenang, gembira, lapang dada, bahagia dan sejahtera melalui hari-hari sebagai warga emas.

Jadi, hari lahir bagi warga emas bukan sekadar untuk bergembira tetapi sungguh suatu hari penuh bermakna.

Kita sedang melalui perjalanan terakhir sebuah drama kehidupan untuk mengharapkan Husnul Khatimah atau pengakhiran yang baik.

Dalam bahasa karya fiksyen, kita mendambakan sebuah Happy Ending!

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *