Faiz Fadzil

Amanah ambil tindakan tegas isu pertindihan keahlian parti

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (AMANAH) mengambil serius laporan dan aduan berhubung tindakan segelintir mereka yang mendaftar sebagai ahli parti politik lain serta terlibat dalam pemilihan parti politik berkenaan.

Setiausaha Agungnya, Faiz Fadzil berkata, Perlembagaan AMANAH memperuntukkan bahawa tindakan tersebut boleh membawa implikasi tindakan tatatertib termasuk pemecatan keahlian.

Katanya, bagi memastikan pelanggaran disiplin itu dapat ditangani secara teratur, harmoni dan berkesan, sebanyak dua bentuk tindakan telah dilaksanakan iaitu pemecatan keahlian serta-merta atau siasatan lanjut bergantung kepada keseriusan pelanggaran.

“Sehingga semalam, seramai 58 ahli AMANAH telah dipecat oleh JKP Amanah Nasional atas kesalahan menyertai pemilihan parti politik lain.

“Sementara itu, sebanyak 51 surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada ahli yang disyaki terlibat. Kegagalan mereka menjawab surat itu juga boleh membawa kepada implikasi pemecatan.

“AMANAH berharap tindakan yang dikenakan ini boleh menjadi peringatan yang tegas kepada ahli parti,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, semua ahli AMANAH diminta supaya mematuhi disiplin berorganisasi dengan berpandukan kepada Perlembagaan dan Tatacara parti. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *