Faiz Fadzil

Kegagalan SG4 bukti PN tidak mampu jadi pembangkang berkaliber

KUALA LUMPUR – Konsep SG4 oleh Perikatan Nasional (PN) ternyata gagal selepas lebih 20 bulan berlalu, kata Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil.

Beliau menjelaskan, tidak ada satupun pelaburan berjaya di bawah SG4 termasuk dari Korea Selatan, Jepun dan China yang diuar-uarkan berminat untuk melabur.

Katanya, dakwaan kononnya kerajaan Persekutuan menghalang potensi pelaburan SG4 di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak berasas dan gagal dibuktikan sehingga sekarang.

“Seperti biasa, Pas masih bercakap seperti tin kosong. Ironinya, kerajaan MADANI menerusi agensi persekutuan seperti MIDA terus membawa masuk pelaburan asing ke semua negeri, termasuk empat negeri pembangkang SG4 ini.

“Jika betul kerajaan MADANI menghalang, mana mungkin Kedah boleh menjadi negeri penerima pelaburan diluluskan keempat terbesar pada 2024 sebanyak RM45.8 bilion.

“Seperti biasa juga, PN cuba menyalahkan pihak lain atas kegagalan sendiri. Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi mendakwa prosedur operasi standard (SOP) perlombongan unsur nadir bumi (REE) sengaja dilewatkan oleh kerajaan Persekutuan hingga menghalang pelaburan ke dalam SG4,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Faiz, dakwaan itu tidak berasas kerana SOP berkenaan telah pun diluluskan oleh kerajaan MADANI dan telah dimaklumkan kepada negeri-negeri sejak November 2023.

Namun, ujar beliau, belum ada pelabur ke dalam sektor REE di SG4 dan adakah berpunca daripada ketidakupayaan PN di peringkat negeri?

“Kegagalan ini menunjukkan PN terutama Pas bukan sahaja tidak mampu menjadi kerajaan menanti, malah untuk dilihat sebagai pembangkang berkaliber pun tidak mampu.

“SG4 semakin malap sepertimana lampu merah di dada Ultraman dan mungkin perlu bergantung kepada keajaiban untuk bangkit. Ya, kisah SG4 ini serupa kisah Ultraman yang bersifat fiction dan delusion.

“Jika PN ada kemampuan, sekurang-kurangnya SG4 boleh melancarkan halatuju untuk memacu sektor pembuatan tempatan, terutama pembuatan produk perantaraan industri untuk keperluan hab-hab pembuatan nilai tinggi sedia ada seperti Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.

Beliau memberi contoh, Perlis boleh menggunakan model itu untuk menikmati integrasi dengan Kulim Hi-Tech Park yang dipacu oleh agensi kerajaan Persekutuan seperti MIDA bersama kerajaan negeri Kedah.

Katanya, SG4 tidak boleh hanya bergantung kepada sumber bumi terutama REE untuk merangsang ekonomi negeri.

Justeru, kata Faiz, PN perlu menunjukkan kemampuan sebagai kerajaan menanti, bukannya bermain dengan isu sentimen untuk menggugat pengaruh kerajaan Madani.

“Seharusnya, PN membina kekuataan ekonomi di SG4 sepertimana kemampuan PH mentadbir Selangor dan Pulau Pinang sejak 2008 walaupun negeri pembangkang, namun PH berkemampuan membuktikan sebagai kerajaan menanti ketika itu,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001 atau 010-8942252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *