BUKIT MERTAJAM – Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berpandangan sebarang bentuk kempen yang memperlekehkan pimpinan, merendah-rendahkan keputusan mesyuarat serta mengugut parti tidak boleh dibiarkan berlaku menjelang pemilihan parti itu.
Beliau berkata, sejak dari awal, anggota parti itu sudah diingatkan bahawa persaingan memilih kepemimpinan peringkat Pusat bagi penggal 2025-2028 perlu berlangsung dalam semangat kekeluargaan berlandaskan disiplin parti.
“Sebab itu saya mengambil tanggungjawab penuh melihat bahawa kempen-kempen berunsur meremehkan pimpinan, merendah-rendahkan keputusan dengan pimpinan syura (mesyuarat) yang kita angkat, begitu juga yang mengugut-ugut parti tidak boleh dibenarkan berlaku.
“Saya ingat kita mesti bertegas dalam satu perkara iaitu daripada awal kita diingatkan bahawa ini adalah perlawanan keluarga dan kita mesti kekal dengan agenda itu.
“Sebab itu kita mesti tegas dalam soal ini… disiplin mesyuarat dalam keputusan yang sudah diputuskan dan apa yang dipersetujui,” katanya ketika berucap pada program Temu Rapat Akar Umbi bersama Nurul Izzah Anwar Zon Utara di sini, malam tadi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, kempen calon-calon yang bertanding sewajarnya lebih memberi tumpuan kepada khidmat dan nilai tambah yang ingin ditawarkan dan bukannya menyerang pihak lain.
Fadhlina bakal dicabar Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail bagi jawatan Ketua Wanita PKR, manakala Nurul Izzah akan mencabar Datuk Seri Rafizi Ramli dalam pertembungan sengit merebut jawatan Timbalan Presiden.
Kongres Nasional PKR termasuk Kongres Angkatan Muda Keadilan dan Wanita dijadual berlangsung dari 22 hingga 24 Mei di Johor Bahru dengan pemilihan pimpinan pusat diadakan pada 23 Mei ini.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001