KUALA LUMPUR – Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) mendesak kerajaan campur tangan terhadap perubahan polisi FOMEMA ke atas PKS yang bergantung kepada pekerja asing di negara ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Malik Abdullah berkata, kerajaan perlu menangani cabaran operasi dan kewangan ketara, yang kini dihadapi PKS yang bergantung kepada pekerja asing akibat perubahan polisi FOMEMA.
Katanya, perubahan itu, yang diperkenalkan tanpa rundingan mencukupi dengan pihak berkepentingan, merupakan satu perubahan besar dalam landskap peraturan pekerja asing di Malaysia.
Jelas beliau, perbelanjaan yang tidak dijangka itu memberi beban besar kepada PKS yang lazimnya beroperasi dengan margin keuntungan kecil, terutama dalam era pasca COVID-19, di mana ramai PKS masih bergelut untuk terus beroperasi.
“Pada Disember 2023, FOMEMA telah mengubah polisinya dengan mewajibkan pemeriksaan kesihatan tahunan bagi pekerja asing sepanjang tempoh pekerjaan mereka, berbanding setiap dua tahun sebelum ini.
“Yuran pemeriksaan meningkat 8.9 peratus dari RM190 kepada RM207 bagi pekerja lelaki dan meningkat 4.8 peratus dari RM207 kepada RM217 bagi pekerja wanita.
“Pengumuman mengenai perubahan ini dibuat hanya sehari sebelum pelaksanaan, menyebabkan ramai PKS tidak bersedia untuk menampung kos tambahan dan penyesuaian operasi yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut Abdul Malik, peralihan kepada pemeriksaan kesihatan tahunan turut menambah beban pentadbiran kepada PKS, yang memerlukan sumber khas untuk penjadualan dan pengurusan pematuhan.
Ini katanya, amat mencabar bagi perniagaan kecil yang mempunyai keupayaan Sumber Manusia (HR) yang terhad.
FOMEMA juga, ujarnya lagi, telah menetapkan bahawa “Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) yang tidak terkawal” sebagai kriteria, tidak layak untuk pekerjaan pekerja asing.
“NCD seperti hipertensi, diabetes dan kolesterol tinggi adalah lazim dalam kalangan rakyat Malaysia yang bekerja, yang turut menyumbang kepada produktiviti dan pertumbuhan negara.
“Penyakit-penyakit ini boleh dirawat dan dikawal. Negara-negara seperti United Kingdom, Jepun, Germany, India dan China tidak meletakkan kriteria ini sebagai prasyarat meluluskan pekerjaan pekerja asing.
“FMBA telahpun menyuarakan berkenaan perkara ini kepada beberapa kementerian seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri,” katanya.
Beliau menyataka, pada masa ini, majikan dan pekerja asing tidak mempunyai akses kepada rekod perubatan hasil saringan, sedangkan maklumat itu seharusnya disediakan kepada kedua-dua pihak.
“Majikan, yang telah membiayai saringan tersebut, wajar mempunyai hak ke atas maklumat kesihatan yang berkaitan.
“Sehubungan itu, FMBA mencadangkan agar satu salinan laporan pemeriksaan kesihatan disediakan dan diberikan kepada pihak majikan.
“Kos pemeriksaan perubatan ini ditambah pula dengan pelbagai perubahan dasar lain yang turut memberi kesan, termasuk sistem levi pekerja asing berperingkat, peningkatan kadar gaji minimum, sumbangan wajib KWSP yang baharu, Skim Bencana Kerja dan Skim Keilatan di bawah PERKESO dan pelaksanaan e-invois yang meningkatkan lagi beban kewangan ke atas PKS,” ujarnya.
Justeru, kata Abdul Malik, FMBA menggesa agar amalan itu dihentikan oleh FOMEMA dan satu semakan semula dilaksanakan bersama pihak berkepentingan berkenaan rasional dan impak peraturan ini terhadap PKS.
Katanya, pembentukan dasar sepatutnya melibatkan proses kolaboratif bagi mengenal pasti penyelesaian yang melindungi kesihatan pekerja sambil meminimumkan kesan terhadap PKS, terutamanya dalam hal rawatan pekerja asing yang menghidap NCD yang boleh dikawal.
“Kerajaan diseru untuk menimbang semula pengecualian pekerja asing yang mempunyai NCD yang boleh dirawat, dengan mengambil kira potensi sumbangan mereka kepada tenaga kerja negara.
“Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (UN-IOM) telah menekankan isu NCD dan migran.
“Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang berkaitan dengan NCD dan migrasi ialah SDG 2 (Kelaparan Sifar), SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan), SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamaan), dan SDG 11 (Membina Bandar dan Komuniti yang Mampan),” katanya.
Beliau berharap, kerajaan mengambil pendekatan holistik dalam menangani isu-isu ini berdasarkan SDG tersebut. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001