KUALA LUMPUR – Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2025 dijangka mencatat prestasi lebih perlahan berbanding jangkaan pasaran, di tengah-tengah impak berterusan ketidaktentuan perdagangan global serta pendedahan besar negara terhadap ekonomi China.
Anggaran awal menunjukkan pertumbuhan KDNK negara menyederhana kepada 4.4 peratus tahun ke tahun, lebih rendah daripada 5.0 peratus yang dicatat pada suku keempat 2024.
Keadaan itu berlaku meskipun terdapat dorongan sementara hasil penghantaran awal syarikat sebelum pelaksanaan tarif baharu, sekali gus menunjukkan ekonomi negara telah kehilangan momentum sebelum ketidaktentuan perdagangan memuncak.
“Ekonomi kita tidak memerlukan cabaran tambahan – kesannya sudah mula dirasai,” kata Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, kepada *Bernama*.
Menurutnya, unjuran semasa turut dibayangi ketidaktentuan geopolitik global.
Beliau berkata perubahan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas barangan China mungkin mengurangkan tekanan jangka panjang, namun kesannya ke atas sentimen dan aktiviti perniagaan telah mula berlaku sebelum ketegangan perdagangan reda.
Sebagai contoh, output perkilangan kekal menguncup sepanjang suku pertama, menandakan kelembapan berterusan dalam sektor industri.
Lebih membimbangkan, aktiviti pelaburan turut menunjukkan tanda-tanda tekanan apabila permohonan pinjaman pelaburan tetap susut 3.1 peratus tahun ke tahun – penurunan pertama sejak akhir 2022. Sementara itu, pembayaran pelaburan turun 7.6 peratus, menandakan kejatuhan untuk suku ketiga berturut-turut.
Pelabur kini menilai sejauh mana kelembapan itu berpunca daripada gangguan akibat tarif, dan sama ada kelemahan jangka pendek ini boleh diimbangi dengan prospek pemulihan jangka panjang.
Bagaimanapun, Innes berkata risiko struktur lebih membimbangkan dan memberi amaran bahawa isu sebenar bukan sekadar mekanisme perdagangan.
“Isu utama adalah China. Hubungan perdagangan Malaysia yang erat dengan China yang sedang bergelut dengan tekanan deflasi menjadikan kita terdedah kepada kelemahan berpanjangan,” katanya.
Memandangkan China masih bergelut untuk merangsang permintaan dan menstabilkan harga, kesan limpahan sedang dirasai di seluruh rantau ini – termasuk Malaysia.
Dalam persekitaran sebegini, sasaran pertumbuhan rasmi antara 4.5 hingga 5.5 peratus bagi tahun ini dilihat semakin sukar dicapai.
Difahamkan, penggubal dasar sedang mempertimbangkan untuk menyemak semula unjuran tersebut, manakala Bank Negara Malaysia (BNM) telah menukar nada dasar monetarinya daripada neutral kepada lebih cenderung longgar namun kekal berhati-hati.
BNM turut memberi amaran mengenai risiko pertumbuhan yang perlahan dalam kalangan negara rakan dagang utama serta ketegangan perdagangan luar yang berlarutan.
Namun, kadar inflasi yang kekal terkawal memberi ruang kepada bank pusat untuk bertindak secara dasar.
“Dengan inflasi yang rendah dan prospek pertumbuhan yang semakin lemah, peluang untuk penurunan kadar dasar semalaman (OPR) semakin cerah. Pengurangan sebanyak 25 mata asas seawal Julai kini berpotensi dilaksanakan, terutamanya jika data suku pertama terus merosot atau permintaan global terus suram,” katanya.
Secara keseluruhan, pengumuman prestasi KDNK suku pertama ini bukan hanya mencerminkan tahap aktiviti ekonomi semasa, tetapi turut menjadi petunjuk sejauh mana keyakinan pelabur terhadap kemampuan Malaysia menangani cabaran luaran.
“Walaupun pasaran mungkin cuba mengenepikan kelembapan dalam tempoh terdekat, hakikatnya ekonomi China masih terperangkap dalam keadaan statik dan pelaburan domestik pula terus merosot.
“Ini jelas memberi isyarat bahawa Malaysia sedang berdepan tekanan terhadap daya tahan ekonominya. Penurunan kadar faedah bukan lagi sekadar kemungkinan, malah semakin menjadi keperluan,” ujar Innes.
Sementara itu, Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng, menjangkakan pertumbuhan KDNK negara bagi suku pertama akan melepasi anggaran awal 4.4 peratus yang diumumkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Beliau berkata jangkaan itu disokong oleh prestasi lebih baik daripada dijangka bagi Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI), khususnya dalam sektor pembuatan serta perdagangan borong dan runcit pada Mac lalu, yang mencerminkan daya tahan sektor luar dan permintaan domestik.
Tambah beliau, aktiviti pinjaman yang berterusan serta kadar inflasi yang rendah terus menyokong penggunaan dan pelaburan dalam negara. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001