JOHOR BAHRU – Polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang vokalis kumpulan muzik “skinhead” dipukul sekumpulan individu di sebuah pusat beli-belah di sini, pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata, siasatan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat susulan video tular di media sosial yang memaparkan kejadian itu.
Beliau bagaimanapun berkata, setakat ini polis tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak termasuk saksi atau mangsa.
“Polis telah memulakan siasatan sebaik menerima maklumat kejadian (tular) ini pada malam tadi. Justeru, orang ramai diminta tampil membuat laporan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Terdahulu, tular beberapa rakaman video memaparkan kejadian pergaduhan yang dipercayai dimuat naik di akaun Facebook kumpulan muzik itu.
Hantaran tersebut mendakwa vokalis berkenaan diserang dan dipukul sekumpulan lelaki, dengan beberapa keping gambar kesan kecederaan turut dikongsikan. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001