Letupan kuat gegar Kashmir, bekalan elektrik terputus

SRINAGAR – Beberapa letupan telah dilaporkan di pelbagai lokasi di Lembah Kashmir pada Jumaat malam, termasuk berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Srinagar.

Insiden ini berlaku ketika ketegangan antara India dan Pakistan semakin meningkat di sepanjang Garisan Kawalan (LoC).

Menurut pegawai keselamatan, letupan pertama berlaku berhampiran pangkalan udara Awantipora di selatan Kashmir, diikuti beberapa letupan lain di daerah Baramulla di utara Kashmir.

Penduduk tempatan melaporkan, mereka terdengar bunyi letupan berturut-turut dan melihat objek bercahaya di langit sebelum bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan.

Sumber pertahanan India menyatakan, letupan itu mungkin berkaitan dengan pencerobohan dron dari Pakistan ke ruang udara India.

Sebelum kejadian, siren kecemasan berbunyi di sekitar ibu pejabat Kor Ke-15 Tentera India di Badamibagh, Srinagar, memberi amaran kepada penduduk untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

Ketegangan antara India dan Pakistan semakin memuncak selepas India melancarkan serangan udara ke atas sembilan lokasi yang didakwa sebagai kem pengganas di Pakistan dan Pakistan yang ditadbir Kashmir pada 7 Mei.

Serangan ini dilakukan sebagai tindak balas terhadap serangan bersenjata yang mengorbankan 26 orang, kebanyakannya pelancong India, di Kashmir yang ditadbir India bulan lalu.

Pihak berkuasa masih menyiasat punca sebenar letupan ini dan kesannya terhadap keselamatan di rantau tersebut.

Penduduk tempatan dinasihatkan untuk kekal berjaga-jaga dan mengikuti arahan keselamatan yang diberikan oleh pihak berkuasa.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *