TVET Malaysia Antara Ledakan Statistik dan Realiti Dunia Pekerjaan

Oleh: Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali

Landskap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara kini memasuki fasa peralihan yang semakin kompleks. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), 2026–2030, perancangan modal insan tidak lagi boleh bergantung pada naratif umum, angka agregat atau sasaran penyertaan semata-mata.

Sebaliknya, setiap keputusan dasar perlu disandarkan pada bukti yang kukuh, definisi data yang seragam serta kefahaman yang tepat tentang demografi, kapasiti institusi dan keperluan sebenar pasaran buruh.

Data rasmi menunjukkan ekosistem TVET Malaysia telah berkembang dengan ketara dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Berdasarkan siri data Majlis TVET Negara (MTVET), pengambilan pelajar meningkat daripada 130,440 orang pada tahun 2020 kepada 229,121 orang pada tahun 2025.

Enrolmen keseluruhan pula meningkat daripada 344,153 kepada 459,558 pelajar, manakala keluaran graduan bertambah daripada 122,836 kepada 205,229 orang dalam tempoh yang sama. 

Pada pandangan pertama, perkembangan tersebut menggambarkan peningkatan kapasiti dan penerimaan masyarakat terhadap TVET. Namun, angka berkenaan perlu ditafsir secara berhati-hati.

Sebahagian daripada peningkatan tersebut turut dipengaruhi oleh peluasan skop pengumpulan dan penyepaduan data, khususnya apabila pelbagai laluan TVET mula direkodkan dengan lebih menyeluruh.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Perkara ini tidak menafikan kemajuan yang dicapai. Sebaliknya, ia menuntut agar pembuat dasar membezakan antara pertumbuhan kapasiti sebenar dengan pertumbuhan yang terhasil daripada penyepaduan data pentadbiran.

Tanpa penjelasan metodologi, angka besar mudah dianggap sebagai bukti bahawa sistem mempunyai ruang yang tidak terbatas untuk menerima lebih ramai pelajar.

Salah satu isu paling kritikal dalam perbincangan dasar TVET ialah kekeliruan antara pengambilan tahunan, enrolmen keseluruhan dan keluaran graduan. Pengambilan tahunan merujuk kepada pelajar baharu yang memasuki sistem dalam sesuatu tahun.

Enrolmen keseluruhan pula merangkumi semua pelajar aktif daripada pelbagai kohort yang masih mengikuti pengajian. Keluaran merujuk kepada pelajar yang telah menamatkan program atau memperoleh kelayakan dalam tempoh berkenaan.

Oleh itu, angka enrolmen sebanyak 459,558 pelajar pada tahun 2025 tidak boleh ditafsirkan sebagai jumlah pelajar baharu yang diterima pada tahun tersebut.

Jumlah pengambilan baharu hanyalah 229,121 orang, manakala jumlah keluaran ialah 205,229 graduan. Kegagalan membezakan ketiga-tiga konsep ini boleh menghasilkan jangkaan dasar yang tidak selari dengan kemampuan sebenar sistem.

Lebih membimbangkan, kekeliruan tersebut boleh membawa kepada penetapan sasaran yang terlalu tinggi tanpa mengambil kira tempoh pengajian, kadar penggunaan kapasiti, nisbah tenaga pengajar, kemudahan latihan, bidang yang ditawarkan dan kebolehupayaan institusi. Selain itu, naratif yang mengaitkan keperluan kemasukan TVET sebanyak 650,000 pelajar setahun sebenarnya perlu diperhalusi kerana angka tersebut merujuk kepada kapasiti enrolmen kumulatif merentasi pelbagai kohort pengajian.

Apabila angka ini disalah tafsir sebagai pengambilan tahunan, ia mewujudkan jangkaan dasar yang tidak selari dengan kapasiti sebenar sistem. Kekeliruan ini menjadi lebih signifikan apabila dikaitkan dengan sasaran kemasukan 60 peratus lepasan SPM menjelang tahun 2030 seperti yang di tetapkan dalam RMK13.

Dengan jumlah calon SPM sekitar 400,000 setahun, sasaran tersebut memerlukan lebih kurang 240,000 pelajar memasuki TVET setiap tahun, hampir menyamai kapasiti pengambilan semasa. Kerajaan telah menunjukkan komitmen yang jelas untuk memperkukuh TVET.

Pelancaran Dasar TVET Negara 2030, misalnya, disertai pembiayaan tambahan RM200 juta melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran bagi memanfaatkan lebih 13,000 pelajar dalam bidang seperti peralihan tenaga, teknologi digital, elektrik dan elektronik, pertanian serta industri unsur nadir bumi.

Bagaimanapun, peningkatan peruntukan perlu disertai penyelarasan yang lebih tersusun. Ekosistem TVET Malaysia melibatkan pelbagai kementerian, agensi, institusi awam, penyedia swasta dan badan pentauliahan.

Kepelbagaian ini memberikan pilihan yang luas kepada masyarakat, tetapi pada masa yang sama mewujudkan risiko pertindihan program, persaingan mendapatkan kumpulan pelajar yang sama dan penggunaan kemudahan yang tidak optimum.

Tanpa pemetaan program yang menyeluruh, dua atau lebih institusi boleh menawarkan latihan yang hampir sama dalam kawasan dan sektor yang sama, sedangkan terdapat bidang baharu yang masih kekurangan penyedia latihan.

Keadaan ini boleh menghasilkan ketidakcekapan skala dan menyebabkan sumber awam tidak disalurkan kepada keperluan yang paling mendesak. Oleh itu, pembiayaan TVET perlu semakin berasaskan hasil.

Selain jumlah pelajar, ukuran prestasi seharusnya merangkumi kadar tamat latihan, kadar memperoleh pekerjaan, kesepadanan bidang pekerjaan, perkembangan gaji, pengekalan dalam industri dan pulangan pelaburan kepada negara.

Dari sudut kebolehpasaran, graduan TVET menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. Kadar kebolehpasaran graduan TVET dilaporkan mencapai 94 peratus pada tahun 2023 dan terus meningkat kepada 95.9 peratus pada tahun 2025.

Bagaimanapun, kadar kebolehpasaran yang tinggi tidak semestinya menggambarkan kualiti pekerjaan yang diterima. Seseorang graduan boleh dikategorikan sebagai boleh pasar apabila bekerja, melanjutkan pengajian, mengikuti latihan lanjutan atau menunggu penempatan pekerjaan, bergantung pada metodologi kajian yang digunakan.

Persoalan yang lebih penting ialah sama ada graduan memperoleh pekerjaan dalam bidang latihan, menerima gaji yang setimpal, mempunyai perlindungan sosial dan berpeluang meningkatkan kemahiran serta kemajuan kerjaya.

Masih terdapat graduan TVET yang memulakan pekerjaan dengan gaji di bawah RM2,000, khususnya dalam pekerjaan peringkat permulaan dan sektor tertentu. Pada masa yang sama, statistik siswazah menunjukkan bahawa gaji median pemegang diploma secara keseluruhan ialah RM3,390 pada tahun 2024.

Namun, angka ini merangkumi semua pemegang diploma yang bekerja dan tidak boleh dianggap sebagai gaji permulaan khusus bagi graduan TVET. Terdapat juga kecenderungan untuk menyamakan semua graduan TVET dengan tenaga kerja berkemahiran tinggi. Naratif ini perlu diperhalusi supaya selaras dengan Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia atau MASCO.

MASCO mengelaskan pekerjaan berdasarkan tugas, tanggungjawab dan tahap kemahiran yang diperlukan oleh sesuatu pekerjaan. Kumpulan Pengurus, Profesional serta Juruteknik dan Profesional Bersekutu dikelaskan sebagai pekerjaan mahir Kumpulan 1 hingga 3.

Pekerjaan dalam Kumpulan Utama 4 hingga 8 pula lazimnya dikelaskan sebagai separuh mahir, manakala Kumpulan Utama 9 merupakan pekerjaan berkemahiran rendah.

Oleh itu, seseorang yang memiliki kelayakan TVET tidak secara automatik dikategorikan sebagai pekerja berkemahiran tinggi.  Kejayaan transformasi TVET turut bergantung pada kualiti tadbir urus data.

Pada masa ini, beberapa kekangan masih mengehadkan analisis yang lebih mendalam, termasuk pertindihan rekod rentas kementerian, perbezaan definisi, ketiadaan maklumat terperinci tentang kadar keciciran serta data gaji permulaan dan pemadanan pekerjaan mengikut program.

Sistem data TVET pada masa hadapan perlu membolehkan perjalanan seseorang pelajar dijejaki daripada peringkat permohonan, pendaftaran dan latihan sehingga persijilan, penempatan pekerjaan serta perkembangan kerjayanya.

Setiap individu perlu dikenal pasti secara unik bagi mengelakkan seseorang pelajar dikira berulang kali apabila mengikuti lebih daripada satu program atau memperoleh beberapa kelayakan.

Pada masa yang sama, data pasaran kerja perlu dihubungkan dengan maklumat latihan. Dengan integrasi MySPIKE, UP_TVET dan maklumat pasaran buruh, penawaran program boleh disemak berdasarkan permintaan pekerjaan, kekosongan, pertumbuhan sektor, teknologi baharu dan kadar gaji.

TVET Malaysia sememangnya sedang berkembang. Namun, ledakan statistik tidak boleh dijadikan ukuran tunggal kejayaan. Pertumbuhan yang sebenar berlaku apabila peningkatan pengambilan disokong oleh kapasiti yang mencukupi, latihan yang berkualiti, penglibatan industri yang bermakna serta pekerjaan yang produktif dan bermaruah.

Cabaran dasar pada masa hadapan bukan sekadar untuk membawa lebih ramai pelajar memasuki TVET, tetapi memastikan setiap pelajar memperoleh kompetensi yang relevan, setiap persijilan mempunyai nilai dalam pasaran kerja dan setiap pelaburan awam memberikan pulangan kepada rakyat serta ekonomi negara.

Selaras dengan RMK13, Dasar TVET Negara 2030 dan aspirasi Ekonomi MADANI, Agenda Strategik (R)EVOLUSI TVET JPK 2026–2030 berpotensi menjadi jambatan antara perkembangan sistem dengan realiti dunia pekerjaan.

Namun, kejayaannya bergantung pada keberanian untuk menyusun semula program, memperkukuh peranan industri, meningkatkan ketelusan data serta mengukur pencapaian berdasarkan hasil, bukan sekadar jumlah.

Pada akhirnya, kekuatan TVET tidak ditentukan oleh berapa besar angka enrolmennya, tetapi sejauh mana kompetensi yang dibangunkan dapat diterjemahkan kepada produktiviti, inovasi, peningkatan pendapatan dan mobiliti sosial.

Apabila ukuran ini dijadikan asas perancangan, TVET bukan sahaja menjadi pilihan pendidikan, malah benar-benar berfungsi sebagai pemacu pertumbuhan negara dan pembina masa depan pekerjaan rakyat Malaysia.

Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *