SEPANG – Seramai 11 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang dikenali sebagai Geng Vinod, dari dua tahun lepas.
Mereka ialah Muhammad Vinod Saktivel, 30 yang dipercayai ketua kumpulan itu, M. Puvaneswaran, 34; Lawrence Alfred, 34; G. Sanggeethan, 31; M. Naviedran, 29; S. Sri Tharan, 27; M. Surenthar, 27; N.A.N Viknesvaran, 27; J.M Kishaan, 24; R. Shervinkumar, 23; dan T. Saarvin, 21.
Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Husna Dzulkifly kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mereka didakwa menjadi ahli kumpulan itu di Bandar Rimbayu, Telok Panglima Garang antara April 2024 hingga 27 Jun 2026 dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chow Siang Kong dan Muhammad Syahrezal Mohd Shukri, manakala kumpulan lelaki tersebut diwakili peguam T. Mishant dan S. Devan.
Mahkamah menetapkan 14 September ini untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, semua mereka tiba di pekarangan mahkamah pada kira-kira 9 pagi dengan kawalan keselamatan ketat oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sebelum ini, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kumpulan itu dipercayai aktif dalam pelbagai jenayah kekerasan termasuk rompakan berkumpulan, cubaan bunuh, rusuhan bersenjata dan menyebabkan kecederaan menggunakan senjata serta khianat.
Penahanan ahli kumpulan itu menerusi Ops Rapido yang diketuai JSJ Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Selangor pada 23 dan 24 Jun, menyelesaikan 21 kes serta melumpuhkan satu sindiket rompakan berkumpulan bersenjata yang aktif di Selangor. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L