Kritikan Senathiraj melampau perlu diambil tindakan

KUALA LUMPUR – Tindakan Presiden Persatuan Kriket Negeri Sembilan, Senathiraj Thevaratnam mengkritik Persatuan Kriket Malaysia (MCA) ketika proses mahkamah sedang berlangsung tidak sewajarnya berlaku.

Seorang pemimpin badan induk itu yang enggan namanya didedahkan berkata, tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan Senathiraj ketika mana persatuan sedang menyelesaikan pertikaian dengan bekas kepimpinan lalu di mahkamah.

Tindakan sebegini bukan sahaja dilihat sebagai satu cubaan yang berniat jahat untuk memburukkan persatuan kriket, malah turut tidak menghormati mahkamah.

“Saya rasa ini tindakan melampau apabila dia mengkritik persatuan secara terbuka yang memberi imej buruk kepada MCA dan sebagai seorang pemimpin, dia tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegini,” katanya.

Terdahulu, Senathiraj mengkritik badan induk itu dalam satu rancangan audio siar The Goodcast Show.

Dalam temu bual itu, beliau mengkritik krisis yang berlaku dalam badan induk itu dan mendakwa lebih teruk berbanding krisis Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Senathiraj dalam sesi itu turut mempertahankan kepimpinan lalu dan mendakwa berlaku rampasan kuasa secara kudeta dalam MCA.

Pada 29 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala memutuskan peletakan jawatan Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali sebagai presiden MCA serta Exco MCA, Dr. Arun Kumar Beshamber Nath dan Amarjeet Singh adalah sah.

Mahkamah Tinggi menetapkan peletakan jawatan individu-individu yang dinamakan di atas adalah mutlak dan telah tamat memegang jawatan masing-masing di dalam MCA dan tidak lagi mempunyai jawatan dalam persatuan.

Mahkamah Tinggi juga mendapati tiada sebarang cabaran dibuat terhadap kesahihan Mesyuarat Agung Luar Biasa yang diadakan pada 13 April 2025 dan Mesyuarat Agung Dwitahunan pada 27 April 2025.

Mahkamah Tinggi seterusnya mendapati cubaan oleh individu-individu yang dinamakan di atas untuk menarik balik peletakan jawatan mereka telah ditolak oleh persatuan dan penolakan tersebut telah disampaikan melalui surat Persatuan bertarikh 23 April 2025.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.

Sementara itu, pemimpin MCA berkenaan mencadangkan supaya Senathiraj dikenakan tindakan disiplin dan persatuan perlu turut mengheretnya ke mahkamah kerana terdapat unsur fitnah dalam kritikannya.

“Tuduhan yang dilemparkan amat melampau dan tindakan perlu diambil oleh persatuan termasuk mengemukakan saman terhadapnya,” katanya lagi.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *