Tiga maut dalam kemalangan di Lebuhraya KL-Seremban

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar pembahagi jalan di susur keluar Lebuhraya KL-Seremban, awal pagi tadi.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam satu kenyataan, panggilan kecemasan mengenai insiden itu diterima pada jam 5.57 pagi.

Sehubungan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi dan bantuan dari BBP Bukit Jalil digerakkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan 10 anggota serta satu jentera FRT2.

“Sebaik tiba di lokasi pada jam 6.07 pagi, pihak bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan.

“Terdapat tiga mangsa lelaki dewasa yang tersepit di dalam kenderaan. Operasi menyelamat mengambil masa hampir sejam sebelum kesemua mangsa berjaya dikeluarkan,” katanya.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.29 pagi dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Laporan Astro Awani

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *