KLANG – Polis menahan seorang leleki dipercayai terlibat dalam kes melanggar seorang penunggang motosikal dalam kejadian di Jalan Dato Yusof Shahbudin 28, Bandar Sentosa, dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, suspek berusia 37 tahun itu ditahan beberapa jam selepas melanggar mangsa berusia berusia 50 tahun hingga mengalami kecederaan di anggota badan.
Katanya, Pusat Kawalan Daerah (PKD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima panggilan kecemasan MERS 999 pada jam 10.20 malam semalam, memaklumkan mengenai kejadian pergaduhan melibatkan seorang pemandu kereta dengan seorang penunggang motosikal.
“Kira-kira tiga jam kemudian, iaitu pada jam 1.15 pagi, suspek berjaya ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan.
“Semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan permohonan reman terhadap suspek telah diluluskan selama empat hari sehingga 30 April ini.
“Pegawai penyiasat kini sedang melengkapkan siasatan sebelum merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati insiden berlaku sekitar jam 10 malam ketika mangsa, menunggang motosikalnya cuba mengelak beberapa permukaan jalan yang tidak rata.
Tindakan itu, ujarnya, dipercayai menimbulkan rasa tidak puas hati kepada suspek memandu kereta, yang menganggap mangsa menunggang secara tidak berhemah dan berpotensi menyebabkan kemalangan.
“Suspek kemudiannya membunyikan hon sebagai tanda teguran. Tidak berpuas hati dengan tindakan itu, mangsa telah mengejar suspek dan berlaku pertengkaran di antara mereka.
“Dalam insiden tersebut, mangsa telah menghentak cermin hadapan kereta suspek menggunakan topi keledar hingga menyebabkan cermin berkenaan retak.
“Dalam keadaan beremosi, suspek bertindak melanggar mangsa sehingga motosikalnya terheret di bawah kereta, sebelum suspek melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya.
Kata Ramli, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.
“Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan luka di kedua-dua kaki dan bahu serta mengalami kehelan pada sendi bahu kiri (dislocated shoulder). Keadaannya kini stabil namun masih menerima rawatan lanjut di hospital,” katanya.
Berikutan kejadian itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika disabitkan kesalahan.
Dalam pada itu, polis turut mengesan satu video kejadian yang tular di media sosial. Orang awam dinasihatkan supaya tidak menyebarkan video tersebut bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat dan mengganggu proses siasatan.
Polis turut menegaskan komitmen untuk menjalankan siasatan secara telus dan tegas demi memastikan keadilan ditegakkan. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001