LONDON – Crystal Palace layak ke final Piala FA buat kali pertama dalam tempoh sembilan tahun apabila dua gol Ismaila Sarr dan gol roket Eberechi Eze memastikan kemenangan 3-0 ke atas Aston Villa di Wembley awal pagi tadi.
Pasukan kendalian Oliver Glasner mendahului pada separuh akhir menerusi rembatan jarak jauh Eze pada minit ke-31 sebelum Sarr menyumbat dua gol pada minit ke-58 dan 94.
Pada pertembungan final 17 Mei ini, Palace akan berdepan sama ada Nottingham Forest atau Manchester City, yang bertemu pada separuh akhir kedua lewat malam ini.
The Eagles tidak pernah menjuarai Piala FA, kalah dalam dua penampilan final di tangan Manchester United pada tahun 2016 dan 1990.
“Pujian buat semua pemain. Mereka bekerja keras selama ini. Mereka juga terpaksa menangani beberapa detik sukar,” kata Glasner.
“Kami lebih banyak menguasai dan ia satu persembahan luar biasa. Pemain mengikut perancangan dan kami tidak pernah berputus asa.
“Saya tidak tahu ketika ini apa yang saya rasa – agak keletihan. Pemain kini akan berehat selama empat hari. Mereka patut meraikan detik menyeronokkan ini.”
Villa, yang menang Piala FA kali terakhir pada 1957, berharap untuk layak ke final buat kali pertama sejak 2015.
Namun pasukan kendalian Unai Emery mempamerkan persembahan hambar dan kini terpaksa berpuas hati untuk berjuang merebut tempat ke Liga Juara-Juara menerusi penamat lima teratas Liga Perdana Inggeris.
“Apabila mereka menjaringkan gol pertama ia lebih sukar buat kami dan kami hanya bertindak balas selepas 2-0 dan kemudian kami mencipta lebih banyak peluang menjaringkan gol tetapi tidak menggunakannya. Mereka berhak menang,” kata Emery.
“Maaf kepada penyokong kami kerana mereka bermotivasi. Kami terpaksa menerimanya. Kami perlu bangkit dengan pantas kerana dalam liga kami mempunyai objektif paling penting.” – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001