Prasarana perkukuh usaha membangunkan tenaga kerja masa hadapan selaras agenda TVET negara

PETALING JAYA – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), selaku pengendali utama pengangkutan awam dan pemacu agenda mobiliti negara, terus memperkukuh bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khusus dalam bidang berkaitan rel dan bas.

Sebagai salah satu agensi yang telah diperakui oleh Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) sejak September 2011, Prasarana memperkenalkan program komprehensif merangkumi pembelajaran berasaskan teori, latihan di tempat kerja, pensijilan dan pendedahan kepada industri.

Antara program ditawarkan termasuk Pengoperasian Bas Elektrik, Penyelenggaraan tren (Rolling Stock) dan Keselamatan Siber, di mana peserta akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf.

Semua program itu dijadual bermula pada suku keempat tahun 2025 dengan menyasar untuk melatih 1,000 individu melibatkan lepasan sekolah, pelajar institusi vokasional, pemegang diploma dan graduan universiti dalam tempoh lima tahun.

Selari dengan keperluan industri serta menyokong Dasar TVET Negara 2030 yang menyasarkan untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan berpendapatan tinggi, Prasarana hari ini memeterai kerjasama strategik bersama Hitachi Rail bagi memperkukuh dan memperluaskan pelaksanaan program TVET di Malaysia.

Sebagai sokongan kepada fokus bersama dalam pembangunan modal insan, satu sesi khas diadakan melibatkan 28 peserta program protégé Hitachi.

Sesi ini memberi peluang kepada peserta untuk melakukan sesi networking bersama kepimpinan kanan, lawatan pembelajaran ke pusat kawalan operasi rel dan depoh penyelengaraan.

Program Protégé ialah satu inisiatif yang digerakkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), melibatkan penyertaan peserta dari pelbagai latar belakang akademik termasuk kejuruteraan awam dan sains komputer.

Peserta menjalani program ini selama tempoh lapan bulan dan dalam usaha menjayakan agenda nasional, Prasarana menjalin kerjasama jangka panjang bersama Hitachi Rail untuk pembangunan modal insan dan tenaga mahir di Malaysia.

Sejak 1998, Hitachi Rail telah menjadi rakan penting dalam pembangunan rel di Malaysia melalui pengenalan sistem SelTrac™ Communications-Based Train Control (CBTC) untuk Laluan Kelana Jaya serta menaiktaraf sistem isyarat bagi Laluan Monorel, Laluan Ampang dan Laluan Kelana Jaya.

Antara pencapaian terkini adalah menyiapkan projek Integrated Control Center (ICC) yang berperanan untuk mengawal operasi tiga laluan rel utama serta penambahbaikan sistem keselamatan bagi Laluan Ampang.

Berucap dalam majlis di Menara Prasarana, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, kerjasama itu bukan sahaja berkisar penambahbaikan operasi dan penyelenggaraan tren, malah mengenai pembinaan bakat tempatan dan masa depan industri rel negara.

Katanya, selari dengan agenda TVET negara, pihaknya sedang membentuk generasi profesional rel tempatan yang memiliki kemahiran dan pengetahuan bertaraf dunia.

“Ini adalah langkah penting untuk meletakkan Malaysia sebagai hab kepakaran dan inovasi rel serantau,” katanya.

Turut berkongsi pandangan, Pengarah Urusan Hitachi Rail bagi perniagaan Urban Rail Signalling, Ziad Rizk yang dilaporkan berkata, pihaknya berbangga mengukuhkan komitmen syarikat terhadap pembangunan kemahiran dan inovasi strategik.

Ujar beliau, kerjasama selama 30 tahun bersama Prasarana serta pelaksanaan teknologi SelTrac™ telah memainkan peranan penting dalam menambah baik operasi rel, dan pihaknya amat teruja untuk terus memajukan industri rel di Malaysia.

“Kerjasama strategik ini hadir tepat pada masa ketika Malaysia sedang giat memperkukuh infrastruktur pengangkutan awam serta membangunkan ekosistem tenaga mahir yang mampan untuk memenuhi keperluan masa hadapan.

“Kolaborasi Prasarana – Hitachi Rail ini dijangka menyumbang secara signifikan kepada matlamat negara dalam pembangunan lestari, daya saing ekonomi dan kepimpinan serantau dalam penyelesaian rel pintar,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *