Oleh: Ismail Daud
KOTA BHARU – Berbekalkan sebuah manuskrip berjudul ‘Rumah Botol Tok Ki’, Arissa Ayuni Khairul Anuar berjaya menarik perhatian editor Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT).
Manuskrip dihasilkan penulis termuda berusia 10 tahun itu diterima DBPWT untuk diterbitkan setelah melalui sedikit pemurnian.
Editornya, Siti Masni Kospin berkata, manuskrip tersebut layak diterima setelah penilaian dari segi idea serta kandungan cerita yang menarik.

“Ceritanya sesuai dengan kanak-kanak kerana mengetengahkan nilai murni menjaga kebersihan alam sekitar serta mengutamakan keselamatan orang ramai.” katanya.
Arissa Ayuni pernah menjuarai Pertandingan Bercerita KL Story Fest 2023 anjuran Perpustakaan Kuala Lumpur, selain naib juara KMS Talent Show 2024 dan tempat ketiga Pertandingan Bercerita Kisah Dari Al-Quran (KAMIL) Zon Ampang.
Murid dari Khalifah Model School Kuala Lumpur itu merupakan peserta termuda Bengkel Penulisan Cerita Rakyat anjuran DBPWT yang disertainya bersama 50 peserta dewasa.

Beliau ditemani ibunya, Nor Hashimah Abdul Rahman, 38, yang juga seorang penulis.
Sebagai pencinta alam sekitar, Arissa Ayuni pernah dinobatkan juara kategori sekolah rendah dalam IPC Little Eco-Heroes Awards 2024 serta Most Innovative Award atas projek aquarium tanpa elektrik.
Aktif bergerak dalam pertubuhan dakwah kanak-kanak dinamakan Selawat Ranger di sekolahnya untuk memastikan murid mengamalkan selawat setiap hari. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001