Liverpool perlukan satu kemenangan lagi

LEICESTER – Liverpool perlu menunggu beberapa hari lagi sebelum disahkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris.

Kemenangan 1-0 ke atas Leicester City belum cukup untuk mengesahkan kejuaraan selepas Arsenal terus menghidupkan peluang dengan menewaskan Ipswich Town 4-0.

Trent Alexander-Arnold masuk sebagai pemain gantian untuk meledak gol kemenangan Liverpool pada minit ke-76 aksi di Stadium King Power sekali gus mengekalkan jurang 13 mata ke atas Arsenal dengan lima perlawanan berbaki.

“Kami hanya terus berjuang, secara mental kami sangat kuat. Mereka menikmati bermain bola sepak dan ia membantu apabila anda bermain untuk sesuatu yang istimewa.

“Hari ini (Alexander-Arnold) tahu apa yang paling penting jadi dia memberikan apa yang semua pemain terbaik ada,” kata pengendali Liverpool, Arne Slot.

Tanpa mengira keputusan Arsenal di Palace, skuad kendalian Slot akan mengesahkan kejuaraan dengan menewaskan Tottenham di Anfield pada Ahad.

“Kami akan fokus kepada Tottenham dan menanti perlawanan di laman sendiri. Saya rasa stadium akan penuh. Ia perlawanan yang cukup indah,” katanya yang bakal menjadi pengendali dari Belanda pertama memenangi gelaran Liga Inggeris.

Liverpool mengumpul 79 mata manakala Arsenal 66 dengan lima perlawanan berbaki.

Ketika Liverpool semakin hampir untuk menyamai rekod 20 kejuaraan Liga Inggeris, kekalahan Leicester mengesahkan kepulangan mereka ke Liga Kejuaraan selepas hanya semusim.

Kelab Midlands itu kini sudah tersingkir daripada liga tertinggi Inggeris sebanyak 13 kali, tertinggi untuk mana-mana kelab. – REUTERS

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *