Polis siasat kes lepaskan tembakan terhadap lelaki mengamuk di Banting

SHAH ALAM – Polis menyiasat kejadian membabitkan seorang pengawal keselamatan yang dipercayai melepaskan tembakan ke arah seorang lelaki bersenjatakan parang di sebuah restoran di Banting dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya dimaklumkan pada jam 3.31 petang oleh orang awam, terdapat seorang lelaki warga tempatan mengacukan sebilah parang ke arah pegawai perubatan.

“Terlebih dahulu pada jam 12.05 tengah hari, polis menerima panggilan daripada adik mangsa yang melaporkan dia mengamuk di rumahnya di kawasan Banting.

“Susulan itu, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat telah menggerakkan anggotanya dan membawa lelaki itu ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan sebelum kejadian tersebut berlaku pada sebelah petang,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan selain memohon mereka yang mempunyai maklumat untuk hadir ke balai polis berdekatan atau menghubungi bilik gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-3187 2222.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 37 dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

Terdahulu, tular di laman sosial video memaparkan seorang lelaki dalam keadaan mengamuk mengacukan parang ke arah beberapa petugas kesihatan sebelum pengawal keselamatan yang berada di lokasi kejadian melepaskan tembakan menggunakan senapang patah. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *