KUALA LUMPUR – Dengan lebih 250 karya nukilan rasa, penulis lirik tersohor dari Singapura, Yusnor Ef yang menghembus nafas terakhir pada usia 87 tahun di Hospital Sengkang awal pagi semalam, wajar diiktiraf antara penyumbang terbesar katalog lagu Melayu era Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
Allahyarham Yusnor bukan sahaja dikenali sebagai penulis lirik yang banyak menghasilkan seni kata puitis antara era 1950-an hingga 1970-an, malah menjadi sumber rujukan di Singapura.
BH antara organisasi media yang pernah menjadikan bekas guru itu rujukan dalam usaha menjejaki penyanyi superstar, Anita Sarawak yang dikatakan kembali menetap di Singapura pada 2017.
Ketika itu, tiada siapa dapat menghidu kehidupan Anita yang menghilangkan diri pada pertengahan 2011.
Allahyarham Yusnor yang pernah bekerja dengan Anita menghasilkan beberapa lagu saduran turut menerima tempias apabila kerap diajukan pertanyaan mengenai kepulangan penyanyi lagu Seksis dan Tragedi Buah Epal itu.
“Saya tahu Anita kembali semula ke Amerika Syarikat (AS) sejak beberapa tahun lalu, tetapi apa yang saya dengar, Anita sudah pulang ke Singapura. Saya cuba mencari, tetapi tidak menemuinya.
“Pernah saya bertanya kepada beberapa teman baiknya, tetapi mereka juga tidak mempunyai jawapan. Mereka beritahu, sejak menghilangkan diri, Anita tidak lagi menghubungi,” katanya ketika dihubungi BH.
Yusnor berkata, kali terakhir beliau berjumpa Anita ketika memenuhi undangan program televisyen (TV) di Singapura sekitar 1990-an.
“Selepas itu, saya hanya mendengar berita mengenainya menerusi teman-teman dan akhbar. Pada awalnya, saya tidak menganggap kehilangan Anita sebagai merajuk atau membawa diri.
“Mungkin Anita mempunyai projek di luar negara atau kembali menyanyi di Caesar’s Palace, Las Vegas,” katanya dalam temu bual bersama BH ketika itu.
Allahyarham Yusnor yang menghasilkan lirik lagu nyanyian Anita antaranya Perasaan Di Pagi Hari dan Dikau Menghilang pernah bertanya kepada adik penyanyi itu, Noor Kumalasari mengenai Anita, namun jawapan diterima tetap sama.
“Noor hanya memberitahu saya bahawa Anita bawa diri. Jika benar Anita merajuk dan kecewa dengan industri seni, kita kehilangan bakat besar yang sukar dicari ganti. Kita pasti rindui suara dan persembahannya yang penuh bertenaga dan menghiburkan,” katanya.
Yusnor mengakui begitu menghormati cara Anita bekerja terutama ketika di studio untuk merakamkan lagu.
“Saya mengenali Anita ketika bekerjasama dengan komposer, Allahyarham Kassim Masdor yang menjadi penerbit albumnya pada 1960-an. Ketika itu, Anita sedang berjinak-jinak merakamkan lagu Melayu.
“Saya pula menghasilkan beberapa lirik lagu saduran untuk dinyanyikannya. Saya masih ingat, ada ketika Anita memegang tangan saya untuk menyebut beberapa perkataan yang tidak betah disebut.
“Saya cuba mengajar Anita menyanyi dengan sebutan yang jelas. Arwah Kassim adalah komposer pertama yang memberi peluang Anita merakamkan lagu Melayu. Ketika itu, nama Anita belum menyerlah sebagai penyanyi,” katanya lagi ketika bercerita mengenai Anita suatu ketika dahulu.
Selain Anita, Allahyarham turut menghasilkan lirik dinyanyikan penyanyi tersohor seperti Sanisah Huri, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datin Rafeah Buang, Allahyarham A Ramlie dan Rahimah Rahim.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan pemergian Yusnor sebagai kehilangan besar dalam industri muzik Melayu kerana Allahyarham bukan sekadar seniman, sebaliknya penjaga warisan budaya dan bahasa bangsa.
Allahyarham pernah menjadi guru di Singapura sebelum beralih tugas menjadi penulis buku teks di Kementerian Pendidikan republik itu. Sebelum bersara, dia pernah menjawat jawatan Penerbit TV Pendidikan di kementerian berkenaan.
Yusnor pernah menghasilkan beberapa buku mengenai Allahyarham P Ramlee dan muzik Melayu, antaranya P Ramlee Yang Saya Kenal, 7 Tokoh Muzik, Dendang Temasek dan Muzik Melayu Sejak 40-an.
Selain itu, Allahyarham pernah menerbitkan program dokumentari televisyen melalui saluran Astro seperti P Ramlee Dalam Kenangan, Gemilang Filem Melayu (3 Siri), Bicara Lagenda dan Sayang Disayang.
Beliau juga penerima beberapa anugerah dari Kerajaan Singapura seperti Pingat Bakti Setia (PNS), Pingat Bakti Masyarakat (PBM) dan pingat Cultural Medallion Award dari Presiden Singapura, Dr Tony Tan Keng Yam pada 2011.
Kali terakhir, Allahyarham menerima Pingat Bintang Bakti Masyarakat (BBM) daripada Presiden Halimah Yacob semasa Upacara Penyampaian Anugerah Hari Kebangsaan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Sentral pada 2022. – BHNews
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001