MADRID – Arsenal menyekat juara bertahan Liga Juara-Juara, Real Madrid yang dipenuhi pemain bintang dan sejarah gemilang daripada kebangkitan memukau sebelum meraih kemenangan 2-1 awal pagi tadi dan layak ke separuh akhir dengan agregat 5-1.
Kemenangan 3-0 The Gunners pada suku akhir pertama minggu lalu memberikan mereka kelebihan selesa di ibu negara Sepanyol apabila mereka mara ke separuh akhir buat kali pertama sejak tahun 2009, yang mana mereka akan berdepan Paris Saint-Germain.
Bukayo Saka, yang gagal menyudahkan tendangan penalti pada babak pertama, meletakkan Arsenal di depan dan sekalipun Vinicius Junior menyamakan kedudukan, juara 15 kali itu tidak pernah mampu untuk merapatkan jurang gol.
Gabriel Martinelli menambah luka mereka dengan gol kemenangan pada masa kecederaan buat Arsenal, yang belum pernah menjulang trofi Liga Juara-Juara.
“Kami tahu kami akan merana tetapi kami tahu kami akan menang,” kata Declan Rice, yang meledak dua sepakan percuma menakjubkan pada aksi pertama, kepada TNT Sports.
“Ia satu malam istimewa buat kelab ini, ia satu malam bersejarah buat kelab ini… kami mahu menang pertandingan ini.”
Los Blancos, yang kelihatan lebih rapuh berbanding bila mana mereka menang kejuaraan berganda Liga Juara-Juara dan La Liga musim lalu, yakin mereka mampu mengubah kedudukan tetapi tidak banyak mencipta peluang berdepan benteng kukuh Arsenal.
Kelab Liga Perdana Inggeris itu mengatasi perasaan gemuruh untuk layak ke separuh akhir buat kali ketiga dalam sejarah mereka.
“Kami kalah menentang Arsenal yang terlalu unggul dan kami perlu menerimanya,” kata penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois kepada Movistar.
“Kami mengharungi saat gembira dalam bola sepak beberapa kali dan kemudian ada saat sedih, iaitu hari ini,” kata jurulatih Carlo Ancelotti. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001