Eja jual sambal, tumpu rumah tangga

KUALA LUMPUR – Selepas sedekad hilang dari radar seni, Siti Shahrizah Saifuddin atau Eja, 53, tidak merancang kembali mewarnai dunia lakonan.

Pelakon Filem Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-24 melalui filem Janin ini mengaku lebih fokus kepada keluarga dan perniagaan sambal yang diusahakan.

“Kalau hendak diikutkan, 2015 adalah tahun terakhir saya berada dalam industri seni. Bermakna, sudah genap 10 tahun saya sudah tidak aktif. Disebabkan itulah, saya agak berdebar-debar berdepan media.

“Sekarang saya fokus kepada keluarga dan perniagaan. Alhamdulillah, pada 18 Disember lalu, saya buka kedai di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

“Saya jual sambal dan produk keluaran usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) lain,” katanya dipetik Berita Harian ditemui pada majlis pelancaran single Radar oleh Tengku Ines Najihah Raden di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.

Eja bersyukur dia masih diingati, malah, baru-baru ini, drama lakonannya ditayangkan.

“Alhamdulillah, masih ramai yang menonton drama dan filem saya. Kita tahu, drama dan filem dahulu, skrip sangat bagus.

“Lakonan juga beri kesan hingga penonton ingat sampai hari ini. Saya bersyukur, biarpun tidak banyak drama dan filem, namun, yang sedikit itulah yang diingati sampai sekarang,” katanya.

Eja tidak menolak populariti diraih memudahkan dia mengembangkan perniagaan.

“Dahulu kita buat drama dan filem. Sekarang, saya berniaga dan peminat terus sokong. Terima kasih kepada mereka yang masih sokong dan ingat saya,” katanya.

Eja mengaku menerima banyak tawaran berlakon, namun, menolak dengan cara baik.

“Tahun ini, saya dapat tawaran berlakon filem dengan Datuk Rosyam Nor. Ada juga tawaran berlakon filem arahan Osman Ali.

“Namun, watak yang diberi berat. Sudah tua ini, saya tak mahu watak berat. Jadi, kita terima dengan cara baik dan tolak pun dengan cara baik,” katanya.

Eja memberi alasan tidak punya masa untuk berada di lokasi penggambaran.

“Saya sibuk dengan anak yang masih bersekolah dan perniagaan. Jadi, saya tidak boleh lama-lama ‘shooting’ di lokasi. Umur saya sekarang sudah tidak larat kerja hingga jam 2 atau 3 pagi,” katanya.

Bagaimanapun, Eja tidak menafikan rindu untuk beraksi, bertandang. Namun, tidaklah membuatkan dia ingin berlakon seperti dahulu.

“Namun, saya tidak berani hendak kata berhenti berlakon, risau nanti ‘makan’ diri pula. Buat masa ini, saya berehat dan sudah 10 tahun saya tidak aktif,” katanya.

Pada 2017, Eja dilapor mendedahkan sudah 10 tahun bergelar isteri kepada tokoh korporat, Mohd Silahuddin Jamaluddin. Sejak itu, Eja mengambil pendekatan memperlahankan karier seni selepas melahirkan anak tunggal, Nur Eishal.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *