KUALA LUMPUR – ASM Automation Group Berhad (ASM) pemain utama dalam rumusan jentera automasi tempatan memeterai perjanjian taja jamin dengan M & A Securities Sdn. Bhd. (M & A Securities) sebagai persediaan untuk disenaraikan ke Pasaran ACE Bursa Malaysia.
ASM beroperasi melalui anak syarikatnya Arrow Systems Sdn. Bhd., yang menyediakan perkhidmatan penuh dalam reka bentuk, pembangunan, fabrikasi, pemasangan dan pentauliahan peralatan tersuai.
Fokus utama ASM adalah dalam sektor makanan dan minuman khususnya dalam penyelesaian automasi Front-of-Line (FOL) dan End-of- Line yang masing-masing melibatkan pemprosesan bahan mentah dan pembungkusan produk akhir.
Dalam pada itu, tawaran untuk jualan 53.48 juta saham akan dibuat kepada pelabur terpilih melalu kaedah penempatan persendirian.
Melalui perjanjian taja jamin itu M&A Securities akan menaja jamin 37.44 juta saham, merangkumi saham yang diperuntukkan kepada orang awam dan mereka yang layak di bawah peruntukan Borang Merah Jambu.
Manakala baki 144.39 juta saham akan diagih kepada pelabur terpilih dan pelabur Bumiputera.
Pengarah Urusan ASM, Chan Kok Heng berkata, perjanjian itu menandakan satu lagi kejayaan penting untuk syarikat.
“Modal yang dikumpul ini akan membolehkan kami mengukuhkan lagi jejak operasi syarikat, melalui pengembangan kemudahan pembuatan, pembelian mesin baharu, pemasangan jentera demonstrasi dan penyenaraian pembangunan yang sah.
“Malah, ia juga menyediakan pentas untuk ASM meningkatkan impak di seluruh negara dan pasaran luar Malaysia,” katanya.
Hasil IPO itu akan digunakan bagi memperluaskan kapasiti pengeluaran, memperoleh jentera automasi terkini serta mengukuhkan bahagian penyelidikan dan pembangunan bagi menyokong teknologi automasi masa depan.
ASM telah menerima kelulusan penyenaraian ke Pasaran ACE pada 20 Februari lalu.
M & A Securities Sdn. Bhd. ialah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan untuk IPO manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn. Bhd. ialah Penasihat Kewangan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001