Isu kebun durian: Ahli Parlimen Raub antara 5 individu akan dipanggil bantu siasatan polis

KUANTAN – Polis akan memanggil lima individu termasuk Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, bagi membantu siasatan kes dakwaan penjawat awam dihalang menjalankan tugas ketika operasi penguatkuasaan terhadap kebun durian di Raub, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abd Rahman, berkata Yu Hui yang juga Penasihat Save Musang King Alliance (SAMKA), akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini, tiga laporan polis telah diterima membabitkan operasi itu dan siasatan sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Semalam, polis memaklumkan menerima tiga laporan dibuat pegawai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), pihak polis dan badan bukan kerajaan (NGO).

Dalam pada itu, Mohd Shahril memaklumkan bahawa operasi penguatkuasaan di kebun durian akan diteruskan seperti biasa oleh pihak berkuasa.

Sebelum ini, media melaporkan pekebun didakwa menghalang laluan dengan membawa kain rentang bagi menunjukkan ketidakpuasan hati kerana penguat kuasa memusnahkan tanaman mereka yang berusia puluhan tahun, namun keadaan berjaya dikawal tanpa sebarang insiden.

Kerajaan Pahang menafikan telah melanggar perintah mahkamah apabila menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King dalam operasi penguatkuasaan di Sungai Klau, Raub, 8 April lalu.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *