Amanah sambut baik Bajet 2025, anggap suatu yang realistik – Dr. Mujahid

Tarif timbal balas Trump dan ketahanan ekonomi Madani mendepani cabaran

Oleh: Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald J Trump baru-baru ini mengumumkan tarif baharu yang dikenakan ke atas 158 negara dunia termasuk Malaysia berkuatkuasa 9 April ini.

Penguatkuasaan tarif baharu ini yang bersifat timbal-balas kepada isu perdagangan antarabangsa yang didakwa Trump sebagai tindakan radikal untuk menstrukturkan semula ekonomi AS yang melihat ke dalam untuk memelihara kepentingan domestiknya.

Malaysia dikenakan tarif baharu yang ditingkatkan kepada 24 peratus dari 14 peratus sebelumnya dengan mengambil kira purata kenaan baharu kepada 158 negara adalah kenaikan 10 peratus (baseline tarif).

Apakah impak ke atas Malaysia memandangkan kepentingan perdagangan Malaysia-AS bernilai kira-kira USD 80.2 billion dalam tahun 2024, iaitu peningkatan dari tahun 2023 bernilai USD 65.55 billion.

Defisit imbangan perdagangan Malaysia dengan AS ialah USD 25 billion bermakna eksport Malaysia ke AS lebih tinggi berbanding eksport AS ke Malaysia. AS merupakan rakan perdagangan ketiga menyumbang 11.3 peratus perdagangan negara keseluruhannya.

Sebagai negara yang berdagang (trading nation), Malaysia telah mengumumkan kenyataan balas yang lebih diplomatik dengan mengambil pendekatan diplomasi perdagangan dan melihat peluang perjanjian antarabangsa sebagai wahana untuk perundingan bagi mencapai kata sepakat yang lebih komprehensif dan seimbang.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah membayangkan prospek Kerangka Perjanjian Perdagangan dan Pelaburan atau Trade and Investment Framework Agreement (TIFA) sebagai potensi wahana rundingan bersekali dengan Perjanjian Perdagangan Bebas atau Free Trade Agreement (FTA) supaya Malaysia tidak kehilangan peluang hubungan perdagangan yang lebih progresif dan adil demi kepentingan negara.

Diplomasi merupakan batu tanda (hallmark) Malaysia dalam menangani isu perdagangan global dengan mengimbangi kedaulatannya dan kekal bersaing secara kompetitif.

Malaysia juga memahami bahang perang perdagangan AS-China yang memberi impak kepada kedudukan Malaysia di kalangan ekonomi serantau dan domestik.

Kepimpinan negara akan memainkan peranan kritikal dalam menangani impak tarif baharu ini dengan meneruskan, membina dan mengekalkan keutuhan fundamental ekonomi sama ada secara mikro atau makro.

Kelebihan Malaysia selama ini adalah kerana fundamental ekonomi yang kukuh memberikan ia ketahanan dalam perubahan lanskap perdagangan global yang drastik dan tidak menentu.

Ujian terbesar bagi Malaysia secara domestik ialah bagaimana keadaan ini sepatutnya membawa semua pihak kepada titik konsensus nasional dalam melihat ekonomi negara perlu kukuh dan stabil.

Semua pihak termasuk di pihak kerajaan mahu pun pembangkang perlu memikirkan impak tarif ini dengan menyumbang idea-idea dan pemikiran bernas yang menyumbang kepada mempertahankan kedaulatan ekonomi negara.

Kedaulatan ekonomi adalah maruah negara dan mempolitikkan impak cabaran ekonomi adalah seburuk-buruk pengkhianatan kepada negara!

Dari sudut dasar negara pula di bawah ikhtiar kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan telah menetapkan sejak dari awal lagi asas persediaan ketidaktentuan sebagai latar kemunculan ekonomi MADANI.

Maka, pendekatan ekonomi yang berteraskan kemampanan serta kemakmuran rakyat telah melahirkan ekonomi yang bersifat transformatif.

Antara produk Ekonomi MADANI ialah Pelan Induk Baharu Perindustrian atau New Industrial Master Plan (NIMP) yang akan meningkatkan sektor industri negara menumpukan kepada industri mengikut keutamaan negara dan antara lainnya mengukuhkan rantaian bekalan produk negara serta meluaskan skop Alam Sekitar, Social dan Tatakelola atau Environmental, Social and Governance (ESG) sebagai syarat utama perdagangan serta perniagaan.

Semua ciri-ciri ini terkandung dalam asas ekonomi MADANI yang paling teras, iaitu Kemampanan.

Antara makna Kemampanan ialah kemampuan untuk kekal stabil dalam apa jua kondisi supaya dapat berterusan berperanan secara berkesan. NIMP adalah antara penampan kepada impak global daripada perubahan dasar penguatkuasaan tarif ini dan perlu diperkukuhkan lagi.

Begitu juga dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional atau Malaysia’s National Energy Transition Roadmap (NETR) yang menuju ke arah ekonomi berkarbon rendah, bersih dan hijau.

Secara asasnya, ekonomi MADANI telah melahirkan dasar-dasar yang menyediakan tapak ekonomi yang menjadi pelantar kepada pasaran ekonomi baharu.

Kesungguhan ini bermula dengan inisiatif di Parlimen baru-baru ini yang telah meluluskan akta pemerangkapan karbon yang menjadi pemangkin kepada ekonomi baru dunia.

Malaysia juga bersiap-sedia ke arah pelan baharu perpindahan ekonomi tenaga fosil kepada tenaga boleh diperbaharui dengan pakej insentif ekonomi hijau.

Pelan ini memberi peluang untuk Malaysia mencari potensi rakan perdagangan baharu yang tidak terikat dengan pandangan ke blok Barat semata-mata ketika kemajuan teknologi telah beralih kepada negara-negara seperti India dan China.

Dari sudut pengurusan fiskal, Ekonomi MADANI telah menyediakan piawaian yang kukuh dari sudut undang-undang dengan adanya Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal supaya perbelanjaan negara dikawal pada tahap yang ditetapkan undang-undang, iaitu had hutang negara tidak boleh melebihi 65 peratus daripada KDNK dan khidmat pembayaran hutang tidak melebihi 15 peratus daripada perbelanjaan negara.

Ini sekali gus meningkatkan rangsangan Pelaburan Langsung Asing (FDI) kerana pelabur meyakini kestabilan fiskal negara dan meyakinkan juga rakyat tentang pertanggungjawaban kerajaan berbelanja secara berhemah dan adil.

Peningkatan pelaburan yang telah direkodkan pada tahun 2024 berjumlah kira-kira RM378.5 bilion.

Malaysia yang dihuni kira-kira 34 juta penduduk dan tahap pengangguran yang rendah serta insentif kerajaan kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sebagai fokus ekonomi mempunyai daya ketahanan yang tinggi dalam menangani cabaran baharu global kerana Malaysia telah bersedia untuk menempuh ketidaktentuan ini sejak era pasca-covid lagi.

Kesiapsiagaan Malaysia diperkukuhkan dengan Ekonomi MADANI yang telah menunjukkan keberhasilannya melalui pertumbuhan yang stabil dan pelaburan yang meningkat pada tahun 2024, iaitu 5.1 peratus.

Cabaran mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi yang stabil akan meningkat dengan tarif baharu Trump ini. Semua pihak swasta dan kerajaan perlu lebih peka untuk menjayakan pertumbuhan yang mampan untuk negara.

Kelebihan Malaysia dalam menangani tarif baru Trump terletak juga kepada kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, yang pada tahun 2022 sebelumnya telah memasuki persetujuan serantau antara negara ASEAN dan Australia, New Zealand, Jepun, China dan Korea Selatan.

Ia merupakan blok ekonomi terbesar dalam FTA yang akan memberikan rantau ASEAN kelebihan dengan China sebagai rakan perdagangan terbesar.

Selain itu, Malaysia juga telah diterima sebagai rakan negara BRICS awal tahun ini bersama beberapa negara-negara lain dan pastinya memberikan kelebihan kepada Malaysia mencari potensi pasaran baharu dan rakan perdagangan baharu di kalangan negara Hemisfera Selatan.

Tidak dinafikan pengumuman tarif timbal balas Trump ada kesannya kerana pendapatan perdagangan negara akan terjejas disebabkan produk Malaysia akan hilang daya kompetitifnya di pasaran AS.

National Geoeconomic Command Centre (NGCC) yang dibentuk oleh Kabinet sebelum ini akan memainkan peranan untuk menilai impak tarif baharu Trump dan pastinya akan mengeluarkan pelan mitigasi kepada sektor Elektrik dan Elektronik (E&E), produk sawit dan getah yang terjejas.

Namun keseluruhannya, kedudukan infrastruktur ekonomi Malaysia yang sedia ada dan ekonomi MADANI yang strukturnya dibentuk sebegitu rupa, iaitu bersiap-siaga kepada ketidaktentuan dan keadaan kecamuk diyakini mampu menerima impak tarif baharu secara tenang, malah mampu melihat peluang-peluang baharu di sebalik tindakan tarif timbal balas Trump.

Penulis, Senator Datuk Seri Dr Mujahid  Yusof adalah Timbalan Presiden AMANAH yang juga Senator Dewan Negara

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *