Tuntutan mangsa insiden kebocoran gas Putra Heights: Bagaimana jika tiada perlindungan insurans, perlindungan terhad?

Oleh: Nik Saiful Adli Burhan

INSIDEN kebocoran gas di Putra Heights, Subang Jaya Selasa lalu telah menimbulkan persoalan mengenai liabiliti pihak-pihak yang bertanggungjawab, terutama Petronas sebagai penyedia bekalan gas serta pemaju hartanah yang terlibat dalam pembangunan kawasan tersebut.

Salah satu kebimbangan utama mangsa insiden ini ialah kebanyakan harta benda seperti kereta dan rumah mungkin tidak dilindungi oleh insurans, kerana kebocoran gas bukanlah suatu kejadian yang lazim atau boleh dijangka berlaku di bawah polisi insurans standard.

Insiden seperti ini mungkin tidak termasuk dalam perlindungan biasa dan hanya boleh dituntut di bawah perlindungan khas (special perils) yang tidak diambil oleh kebanyakan pemilik harta.

Dalam menilai hak tuntutan mangsa, rujukan akan dibuat kepada Akta Bekalan Gas 1993 dan prinsip liabiliti ketat/mutlak (strict liability) terhadap penyelenggaraan paip gas oleh Petronas.

Juga perlu lihat neighbourhood principle bagi menentukan kewajipan penjagaan (duty of care) dan siapa pihak yang telah melanggarnya, apa kewajipan dilanggar?

Akta Bekalan Gas 1993 menetapkan tanggungjawab pihak yang menguruskan bekalan gas termasuk aspek keselamatan dan penyelenggaraan infrastruktur.

Seksyen 30 menyatakan bahawa pemegang lesen (seperti Petronas) bertanggungjawab untuk memastikan pemasangan, pengendalian dan penyelenggaraan sistem gas dilakukan dengan selamat.

Seksyen 32 memperuntukkan penalti terhadap pihak yang gagal mengambil langkah-langkah wajar dalam memastikan keselamatan awam.

Berdasarkan peruntukan ini, Petronas sebagai pemegang lesen mungkin mempunyai tanggungjawab untuk memastikan sistem paip gasnya tidak menimbulkan bahaya kepada penduduk sekitar.

Sekiranya terbukti terdapat kecuaian dalam penyelenggaraan atau pemantauan paip gas, bukan sahaja denda dan penalti boleh dikenakan, tapi mangsa yang terkesan boleh menuntut ganti rugi atas kerugian yang dialami di Mahkamah.

ISU LIABILITI:

Malaysia menggunakan Doktrin Strict Liability; Doktrin liabiliti ketat/mutlak (Strict Liability) bermaksud bahawa pihak yang terlibat dalam aktiviti berisiko tinggi (seperti bekalan gas) bertanggungjawab ke atas sebarang kerosakan yang berlaku akibat aktiviti tersebut, walaupun tiada kecuaian secara langsung dibuktikan.

a) Petronas sebagai penyedia gas mempunyai kewajipan mutlak untuk memastikan keselamatan paip gas.

b) Sekiranya berlaku kebocoran yang menyebabkan kemudaratan kepada orang awam, Petronas boleh dipertanggungjawabkan walaupun mereka telah mengambil langkah-langkah berjaga-jaga.

c) Tindakan undang-undang boleh diambil berdasarkan prinsip dalam kes Rylands lwn. Fletcher (1868), di mana pihak yang membawa sesuatu yang berbahaya ke dalam kawasan mereka bertanggungjawab atas sebarang kerosakan yang berlaku akibatnya.

KEWAJIPAN MENJAGA:

Selain itu, dalam menentukan sama ada Petronas atau pemaju lebih bertanggungjawab, mahkamah akan menilai:

a) Adakah kewajipan penjagaan / kewajipan untuk menjaga (Duty of Care) wujud? Jika Petronas atau pemaju mempunyai kawalan atau pengetahuan mengenai potensi bahaya, mereka mempunyai kewajipan untuk mengelakkannya.

b) Adakah kewajipan ini telah dilanggar? Jika terdapat kelalaian dalam penyelenggaraan paip gas oleh Petronas atau dalam pembangunan kawasan oleh pemaju, maka kewajipan penjagaan mungkin telah dilanggar.

c) Adakah pelanggaran itu menyebabkan kerugian? Mangsa boleh menuntut ganti rugi jika mereka mengalami kecederaan, kehilangan harta benda atau kerosakan lain akibat kebocoran gas ini.

Penentuan liabiliti ini bergantung kepada siasatan lanjut dan fakta kes, yang akan ditentukan oleh mahkamah.

Kita tengok juga, Prinsip Jiran (Neighbourhood Principle) dalam Menentukan Kewajipan.

Prinsip jiran yang diperkenalkan dalam kes Donoghue lwn. Stevenson (1932) menyatakan bahawa seseorang harus mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kecederaan kepada pihak yang BERPOTENSI UNTUK TERKESAN oleh tindakannya. Dalam konteks ini:

a) Petronas mempunyai tanggungjawab terhadap penduduk sekitar kerana mereka boleh MENJANGKA / SEWAJARNYA MENJANGKA bahawa kecuaian dalam penyelenggaraan paip gas boleh membawa bahaya kepada mereka.

b) Pemaju juga mungkin bertanggungjawab sekiranya terdapat kecuaian dalam pembinaan yang menyebabkan gangguan kepada struktur paip gas, sekali gus membawa kepada kebocoran.

Oleh itu, sekiranya mahkamah mendapati bahawa Petronas atau pemaju bertanggungjawab atas kejadian ini, tuntutan ganti rugi bagi harta benda yang rosak boleh menjadi satu bentuk pampasan yang perlu diberikan kepada mangsa yang mengalami kerugian.

Boleh jadi kedua-dua mereka bertanggungjawab, atau mungkin pihak ketiga jika dibuktikan di mahkamah menerusi prinsip-prinsip undang-undang sebagaimana saya nyatakan.

Mahkamah yang akan menentukan pembahagian liabiliti mengikut pertimbangan selepas menilai semua keterangan termasuk saksi awam, saksi-saksi pakar, dan juga mangsa. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *