Oleh Ibnu RushDee
WALAUPUN heboh dengan pelbagai isu perkauman yang tercetus kebelakangan ini, Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar tetap tidak lupa tumpuan dan perhatiannya kepada masyarakat marhaen.
Dengan baki Ramadan yang tinggal tidak sampai pun satu minggu lagi, beliau bersama kakitangannya di Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) merai anak-anak yatim dan asnaf dalam program Jom Singgah Sahur.

Program ini sekurang-kurangnya memberi kesedaran kepada masyarakat di luar sana, betapa Menteri Agama sentiasa mengambil berat soal kemanusiaan, terutama golongan yang memerlukan perhatian daripada pemerintah sebagai pengganti kepada keluarga mereka yang kehilangan ibu atau ayah atau kedua-duanya sekali.
Dalam program itu, yang diadakan pada 22 Mac lalu, Dr. Mohd Na’im seawal jam 4 telah berada di Kompleks Darul Kifayah MAIWP dalam , iaitu salah satu inisiatif menyantuni golongan anak yatim dan asnaf yang menetap di institusi kendalian majlis seperti Darul Kifayah dan Pondok Moden Al-Abaqirah.

Dalam program jam 4 pagi ini turut dihadiri lebih 500 tetamu termasuk pelajar, warga kerja MAIWP serta rakan strategik agensi.
Menurut Dr. Mohd Na’im, program ini bukan sekadar mengisi keberkatan Ramadan, malah menjadi medan memperkukuh hubungan antara pemimpin, institusi agama dan masyarakat penerima manfaat.
Program sebegini sebenarnya mengangkat semangat ukhuwah dan menyuburkan kasih sayang sesama insan.
Ini secara tidak langsung mencerminkan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan anak-anak yatim dan golongan asnaf secara berterusan.

Selaku Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama, beliau memuji program anjuran MAIWP itu kerana dapat memupuk kesedaran terhadap kepentingan sahur, menyemai nilai murni dalam kalangan pelajar serta memberi sokongan moral kepada mereka dalam menghadapi cabaran kehidupan dan pelajaran.
Amat terkesan sekali dengan program ‘Jom Singgah Sahur’ ini kerana selain dapat beramah mesra dengan pelajar, beliau dengan penuh kasih sayang seorang bapa, mencedok makanan untuk anak-anak.
Selepas habis sahur, beliau bersama ‘keluarga’ besar itu menunaikan solat Subuh berjemaah dan menyampaikan tazkirah ringkas sebagai pengisian rohani.
Katanya, dalam program itu memperlihatkan usaha berterusan MAIWP memastikan setiap lapisan masyarakat, khususnya yang memerlukan tidak terpinggir daripada rahmat Ramadan dan perhatian pihak berkuasa agama.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001