KOTA BHARU – Syarikat bas ekspres, Konsortium E-Mutiara Bhd (E-Mutiara) menggantung tugas pemandunya yang memandu secara berbahaya di Jalan Kuala Krai-Gua Musang, malam kelmarin.
Pengerusinya Che Ibrahim Che Ismail, berkata tindakan segera terhadap pemandu yang berusia 40-an itu sudah diambil semalam selepas melihat video yang tular itu.
“Pemandu berkenaan sudah berkhidmat dengan syarikat kami lebih setahun dan kita sudah ambil tindakan segera walaupun dia merayu atas tindakannya yang tidak sabar ketika memandu.
“Selepas siasatan kita akan buat keputusan susulan. Pada masa sama, saya turut menghubungi Ketua Pengarah Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya menggantung lesen atau membatalkan lesen untuk pemandu degil seperti ini.
“Tindakan yang dikenakan ini bagi memberi pengajaran kepada pemandu yang lain supaya memandu secara berhemah,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, sebelum bas berkenaan berlepas, pemandu terbabit hadir pada taklimat harian dan semua pemandu diberi peringatan supaya memandu secara berhemah.
“Kita sentiasa memberi peringatan dan mengingatkan pemandu supaya memandu dengan cermat dan berhemah kerana kita membawa ramai penumpang,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial sebuah bas milik E-Mutiara memotong deretan kenderaan secara berbahaya di garisan berkembar.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001