Suami isteri maut kemalangan, sempat rakam gambar terakhir di studio sempena Aidilfitri

SIK – Pemilik Bromie Studio terkejut selepas mengetahui pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Jalan Teloi Timur-Kampung Merbau Kudung, di sini pada Selasa, baru sahaja selesai merakamkan gambar kenangan mereka berdua sempena Hari Raya Aidilfitri ini di studio miliknya di Baling, dekat sini.

Mohamad Suhaimi Yahaya berkata, dia tidak dapat menyembunyikan kesedihan sebaik menerima berita pasangan berkenaan, Lokman Hakim Mohd Shukri, 23, dan Intan Suraya Zaidi, 24, maut dalam kemalangan.

“Pasangan suami isteri itu datang ke studio saya di Parit Panjang di Baling untuk merakamkan gambar raya kira-kira jam 11 pagi. Sesi ‘photoshoot’ berlangsung selama kira-kira 20 minit.

“Mereka yang berbaju raya kelihatan sangat teruja dan gembira merakam momen bersama untuk kenangan Aidilfitri ini.

“Saya amat sedih kerana gambar yang saya rakamkan menjadi kenangan terakhir mereka bersama,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik, Superitendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, dalam kejadian jam 4.30 petang itu kereta Perodua Myvi yang dinaiki pasangan suami isteri itu sedang bergerak dari arah Bukit Selambau ke Batu Lima, manakala sebuah lori membawa muatan batu datang dari arah Batu Lima ke Bukit Selambau.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu Lokman Hakim hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

“Pemandu lori berusia 34 tahun itu cuba mengelak ke kanan, namun gagal lalu bertembung. Akibat perlanggaran tersebut, pemandu lori hilang kawalan dan terlanggar tebing di bahu kanan jalan.

“Mayat kedua-dua pasangan itu tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan dan pasukan Bomba Penyelamat Sik terpaksa dipanggil untuk memotong bumbung kereta bagi mengeluarkan mangsa,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Azizul berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sik untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *