WASHINGTON – China dilaporkan kekal sebagai ancaman ketenteraan dan siber terbesar kepada Amerika Syarikat (AS).
Menurut laporan agensi perisikan AS yang diterbitkan hari ini, Beijing dikatakan sedang membangunkan keupayaan yang boleh digunakan untuk menawan Taiwan.
Laporan oleh Annual Threat Assessment menekankan bahawa China mampu menyerang AS dengan senjata konvensional, mengganggu infrastruktur melalui serangan siber, dan menyasarkan aset AS di angkasa.
Selain itu, Beijing juga berusaha untuk menggantikan AS sebagai kuasa kecerdasan pembuatan (AI) utama dunia menjelang 2030.
Russia, bersama Iran, Korea Utara dan China, sedang mencabar AS melalui kempen untuk mendapatkan kelebihan, kata laporan itu.
Perang Moscow di Ukraine memberikan banyak pengajaran mengenai pertempuran menentang senjata Barat dan perisikan dalam perang berskala besar.
Ia juga menyatakan bahawa Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China berkemungkinan merancang mencipta berita palsu, menyamar sebagai individu tertentu, dan mengaktifkan rangkaian serangan.
Pengarah Perisikan Negara, Tulsi Gabbard berkata, ketenteraan China sedang melengkapkan diri dengan keupayaan canggih, termasuk senjata hipersonik, pesawat siluman, kapal selam maju, aset perang angkasa dan siber yang lebih kuat, serta peningkatan jumlah senjata nuklear.
Beliau melabelkan Beijing sebagai “pesaing strategik paling berkeupayaan bagi Washington.
“China hampir pasti mempunyai strategi nasional pelbagai dimensi untuk menggantikan AS sebagai kuasa AI paling berpengaruh di dunia menjelang 2030,” menurut laporan itu.
Presiden Donald Trump meningkatkan tarif sebanyak 20 peratus ke atas semua import dari China sebagai hukuman terhadap Beijing kerana gagal menghentikan penghantaran bahan kimia fentanyl.
China menafikan pembabitan dalam krisis itu menjadi penyebab utama kematian akibat pengambilan dadah berlebihan di AS. Isu itu menjadi titik ketegangan utama antara pentadbiran Trump dan pegawai China.
Jurucakap Kedutaan China di Washington, Liu Pengyu, berkata AS sudah lama “membesar-besarkan” ancaman China sebagai alasan untuk mengekalkan hegemoni ketenteraan.
“China bertekad menjadi kuasa bagi keamanan, kestabilan dan kemajuan dunia, serta mempertahankan kedaulatan, keselamatan, dan integriti wilayah kami.
“Penyalahgunaan fentanyl adalah masalah yang perlu dihadapi dan diselesaikan oleh AS sendiri,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001