KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan sistem Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) digodam dengan tuntutan AS$10 juta.
Namun begitu, permintaan tuntutan itu telah ditolak.
“Semalam kita bicara tentang serangan siber dan ‘hacking’ (aktiviti menggodam) dan agak berat terhadap MAHB dalam satu dua hari yang lalu.
“Jadi perbincangan bagaimana menyelesaikan termasuk tuntutan daripada penggodam untuk memperoleh dana AS$10 juta atau sebagainya. Saya dimaklum, saya Alhamdulillah bulan Ramadan, saya tak tunggu lima saat pun, saya terus jawab no (tidak),” katanya.
Beliau berkata demikian berucap sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-218 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), hari ini.
Anwar bagaimanapun tidak memperincikan insiden penggodaman terhadap syarikat pengendali lapangan terbang berkenaan.
Namun, Anwar menegaskan insiden itu membuktikan keperluan negara untuk memperuntukkan lebih banyak sumber kepada polis dan Bank Negara Malaysia (BNM), antara lain, untuk mempersiapkan diri melawan penggodam.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Tegas Anwar lagi, Malaysia tidak mungkin akan selamat jika pimpinan dan sistemnya mengizinkan negara tunduk kepada ultimatum penjenayah dan pengkhianat dalam atau luar negara.
Beliau berkata, tindakan untuk tidak tunduk kepada tuntutan penggodam itu sudah pasti membawa risiko kepada kerajaan namun ia membuktikan keperluan untuk meningkatkan keupayaan pihak berkuasa termasuk sektor perbankan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001